Kerajaan setuju Klang dinaiktaraf sebagai bandar raya - Utusan Malaysia

Kerajaan setuju Klang dinaiktaraf sebagai bandar raya

Klang
NGA Kor Ming meninjau tapak pameran program itu di Dewan Hamzah MPK, Klang, Selangor hari ini.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju meluluskan cadangan menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada Majlis Bandaraya Klang yang bakal dimasyhurkan kelak.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kelulusan itu dipersetujui menerusi hasil Mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas MPK didapati memiliki kekuatan kewangan mampan bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran cekap dan bertaraf antarabangsa selain meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat daerah ini.

“Saya yakin kelebihan naik taraf menjadi bandaraya akan menambah kemakmuran dan keselesaan yang dapat dinikmati ketika ini.

“Nama, logo dan tarikh pemasyhuran itu akan ditentukan kelak dan dimasyhurkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya pada sidang akhbar program Setulus Kasih KPKT, hari ini.

MPK bakal menjadi bandaraya keempat di Selangor yang dinaik taraf kepada status bandaraya selain Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Dalam pada itu, Kor Ming turut mengumumkan kementeriannya meluluskan permohonan MPK bagi 21 projek berjumlah RM5 juta.

“Peruntukan itu melibatkan masing-masing RM1 juta bagi menaiktaraf Pasar Awam Pelabuhan Klang dan gerai serta menaiktaraf Jalan Goh Hock Huat atau Jalan Keretapi Lama yang dibina pada 1913.

“Peruntukan selebihnya antaranya melibatkan naik taraf laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota, taman permainan di Bukit Tinggi, pembinaan tandas awam moden di Taman Awam Pangkalan Batu,” ujarnya.

Beliau berkata, MPK yang berusia 133 tahun terus mencatatkan pertumbuhan membanggakan dengan kawasan pentadbiran seluas 573.8 kilometer persegi selain aktiviti ekonomi utama merangkumi sektor pelabuhan dan industri.

“Dari segi populasi, Klang mempunyai 902,025 penduduk dan dijangka meningkat kepada 1.25 juta pada 2035 manakala hasil pendapatan MPK sebanyak RM327 juta tahun lalu.

“KPKT telah meneliti secara terperinci cadangan menaik taraf MPK kepada majlis bandaraya bagi memastikan langkah itu dapat memenuhi harapan dan kehendak Kerajaan Malaysia Madani dan aspirasi rakyat,” katanya.

Tambahnya lagi, MPK mampu menyediakan perkhidmatan bandaraya pada tahap cemerlang selain kemudahan infrastruktur dan utiliti awam berkualiti serta berdaya huni untuk dinikmati warga bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya