Kenapa Najib terus dizalimi, soal MKT UMNO

Kenapa Najib terus dizalimi, soal MKT UMNO

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membangkitkan persoalan kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak terus dizalimi dalam kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, berdasarkan jawapan Kementerian Kewangan di Parlimen, 1MDB meneruskan saman sivil dan menuntut ganti rugi sebanyak AS$8 bilion dari bekas Perdana Menteri itu, sedangkan syarikat pelaburan strategik tersebut mendapat semula asetnya berjumlah RM41.6 bilion.

Jelas beliau, saman ini dimulakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020.

“Kini saman itu diteruskan juga sepertimana afidavit yang dikemukakan di mahkamah pada 23 Mei lalu.

“Tetapi hairan kenapa dana RM114 Juta yang Mahkamah Tinggi putuskan dipulangkan kepada akaun Najib kerana ia milik UMNO, dimasukkan juga dalam saman ini,” soalnya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Najib didakwa membuat pendedahan separa mengenai aset kepunyaannya dalam perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya.

Menurut afidavit yang difailkan oleh Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood, Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya dan jumlah itu tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang dikembalikan oleh mahkamah terhadapnya pada 2021.

Wang sebanyak RM114 juta itu dikembalikan kepada Najib berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk pelucuthakan wang tunai tersebut.

Afidavit Johan juga menyatakan terdapat percanggahan antara aset yang diisytiharkan Najib dan yang diidedahkan untuk saman berasingan dikemukakan SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu,Mohd. Puad berkata, pada tahun 2017, sudah ada perjanjian penyelesaian 1MDB dan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) untuk mendapatkan balik dana 1MDB dan Najib sudah membangkitkan empat kali berhubung isu ini.

Bagaimanapun, katanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membatalkan perjanjian itu agar naratif wang 1MDB ‘hilang’ boleh terus dieksploitasi untuk mencemarkan Najib.

“Akhirnya penyelesaian 1MDB-IPIC diteruskan. MOF umum IPIC-Aabar Investments PJS (Aabar PJS) telah bayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB. PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) anggap ia kejayaan besar.

“Tetapi kenapa Najib terus dizalimi. 1MDB di bawah MOF. Apa yang mencurigakan ada nama yang turut disaman tetapi nama mereka sudah hilang dari senarai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN