LANGKAWI: Kerajaan negeri Kedah yakin Pulau Langkawi akan dapat mengekalkan status geotapak global yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada penilaian semula kali keempat.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penilaian kali ini turut menampilkan Gunung Raya, di sini ke senarai sebagai salah satu geotapak UNESCO yang juga telah disenaraikan sebagai geotapak kebangsaan.
“Saya rasa positif untuk Langkawi mengekalkan status kad hijau global geopark pada penilaian kali ini.
“Malaysia perlu kembangkan lagi tapak-tapak untuk mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Penilaian Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp), di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin.
Muhammad Sanusi turut menyasarkan Gunung Jerai di Yan akan mendapat pengiktirafan daripada UNESCO pada 2025 nanti.
Jelasnya, Gunung Jerai yang kini tersenarai sebagai salah satu daripada sembilan geotapak kebangsaan itu juga mempunyai nilai yang boleh memenuhi standard yang ditetapkan oleh UNESCO.
Bagaimanapun, nilai itu masih belum diteroka bagi membuktikan geotapak itu juga layak diiktiraf sebagai geotapak global.
“Dalam beberapa tahun ini kita akan membuat penerokaan bagi mendedahkan betapa kayanya negeri Kedah yang mempunyai nilai yang unik dari segi pelancongan, kajian tamadun dan kajian masa depan,” ujarnya.
Untuk rekod ketika ini, terdapat 195 geotapak di seluruh dunia yang diiktiraf oleh UNESCO dengan Malaysia memiliki dua geotapak iaitu di Langkawi serta Gunung Kinabalu di Sabah. –UTUSAN