KDN serah nama pegawai JPN kepada SPRM dipercayai minta sejumlah wang

KDN serah nama pegawai JPN kepada SPRM dipercayai minta sejumlah wang

SAIFUDDIN Nasution Ismail dalam sidang akhbar khas di KDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan nama seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang setelah permohonan kewarganegaraan diluluskan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, nama individu terbabit dikenal pasti berdasarkan aduan yang dibuat terus kepada beliau.

“Saya kenal pegawai yang terbabit kerana dihubungi terus oleh pengadu berkaitan tindakan pegawai itu yang meminta sejumlah wang yang besar.

“Permohonan kewarganegaraan tersebut telah diluluskan dan untuk menyampaikan berita kelulusan itu, dia menagih sejumlah wang.

“Saya akan beri nama pegawai ini kepada SPRM selepas sidang media ini dan juga telah menghubungi Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), jadi kita serah kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi sidang akhbar khas di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, dua jabatan di bawah KDN iaitu Jabatan Imigresen dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memberi peringatan kepada orang awam bahawa segala proses kelulusan misalnya membabitkan sijil lahir, kewarganegaraan atau apa sahaja urusan tidak melibatkan sebarang bayaran.

Jelas beliau, sekiranya pemohon dimaklumkan mengenai kelulusan permohonan, mereka hanya perlu datang ke premis yang dinyatakan untuk mengambil dokumen tersebut.

“Kita ada jawatankuasa yang akan membuat pertimbangan berdasarkan undang-undang dan pekeliling. Jawatankuasa ini yang membuat pertimbangan pengesahan dari segi ketulenan dokumen, merit dan segala macam perkara serta mengesyorkan sama ada (permohonan) lulus atau tidak.

“Jadi bila kita buat keputusan itu, kita akan maklumkan kepada pemohon, maklum lulus bermaksud dia (pemohon) datang ‘collect’ sahaja, kalau ada pegawai yang menghubungi untuk meminta bayaran, abaikan, sebab itu bukan amalan tatakelola kerajaan,” ujarnya.

Tambah Saifuddin, KDN dan semua agensi serta jabatan di bawahnya komited mendukung polisi kerajaan dalam usaha membanteras sebarang aspek salah laku dan perbuatan rasuah.

Tegasnya, ia dibuktikan dengan tindakan kementerian mempelawa SPRM supaya segera memulakan siasatan berkaitan dan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh.

“Diakui sejumlah besar kakitangan bekerja dengan penuh dedikasi, tetapi ada juga amalan segelintir ini yang membawa kepada kita mengundang SPRM untuk memulakan siasatan.

“Yang paling penting kita tidak mengamalkan sindrom penafian, harus beri ruang juga kepada pegawai yang bekerja dengan penuh dedikasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya