KBS jumpa pihak terlibat kes gangguan seksual jurulatih dodgeball minggu depan - Utusan Malaysia

KBS jumpa pihak terlibat kes gangguan seksual jurulatih dodgeball minggu depan

HANNAH Yeoh menyertai aktiviti kecergasan sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang di George Town hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berjumpa pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan gangguan seksual oleh jurulatih dodgeball melibatkan beberapa mangsa terdiri daripada murid sekolah rendah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Damansara, Selangor.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pertemuan itu akan dilakukan minggu depan sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) juga sudah mengambil maklum mengenai insidien ini dan telah pergi ke sekolah terlibat untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Jelajah Mini Rakan Muda Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar Utusan Malaysia melaporkan berkenaan laporan polis yang dibuat oleh guru besar sebuah sekolah pada 26 Jun lalu berhubung dakwaan gangguan seksual oleh jurulatih dodgeball terhadap pelajarnya.

Menurut laporan terbabit, jurulatih itu telah menanggalkan seluar murid, mencubit puting dada murid lelaki, mengacah mahu menjatuhkan kayu ke atas kemaluan murid lelaki dan menyuruh murid perempuan merangkak di celah kangkang.

Selain itu, pihak sekolah juga telah mendapat aduan daripada ibu bapa yang ternampak jurulatih tersebut keluar daripada bilik stor bersama anak perempuannya pada 5 Mei lalu dengan alasan memperbetulkan masalah tulang belakang murid berkenaan sebelum soal siasat dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, Rakan Demokrasi yang diperkenalkan menerusi jenama Rakan Muda berperanan mendidik belia berusia 18 tahun yang layak mengundi berkenaan tanggungjawab berkenaan.

“Kalau hak itu diberikan tanpa pendidikan, ia mungkin menyusahkan sebab mereka (belia) tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kertas undi itu dan siapa mereka akan pilih.

“Apatah lagi, kali ini agak berbeza kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) berbeza berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) dan kita akan teruskan usaha untuk meningkatkan pemahaman mereka berhubung sistem politik dan amalan demokrasi di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya