Kartel wujudkan budaya 'ali baba'

Kartel wujudkan budaya ‘ali baba’

PEMILIK rumah yang mahu membina dan mengubah suai rumah perlu memeriksa latar belakang kontraktor untuk mengelakkan sebarang masalah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Budaya ali baba yang didakwa turut wujud dalam industri pembinaan negara dikatakan berpunca daripada perbuatan orang tengah atau kartel.

Budaya ini bukan baharu tetapi sudah berusia lebih 23 tahun kartel bermaharajalela menguasai projek besar dengan cara mengumpul lesen baharu untuk memonopoli projek kecil.

Turut menerima kesannya kalangan kontraktor-kontraktor kecil Melayu yang terpaksa gulung tikar ekoran ketiadaan projek yang ‘dibolot’ oleh kegiatan kartel ali baba.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, kegiatan ali baba ini bukan isu baharu dan sering kali dibangkitkan, namun tidak banyak perubahan.

Beliau berkata, selagi kegiatan ini dibiarkan berleluasa, maka, industri pembinaan negara akan berada di takuk lama dan tidak akan dapat bersaing di peringkat antarabangsa buat selama-lamanya.

“Jadi, Perkobf Pahang menyokong usaha kerajaan untuk merangka dasar serta strategi perundangan sesuai untuk membanteras kegiatan ali baba yang me­ninggalkan kesan negatif kepada ekonomi negara.

“Sudah sampai masanya budaya ali baba ini dihapuskan terutama dalam industri pembinaan negara kerana ia diwujudkan oleh kegiatan kartel bagi memonopoli projek-projek termasuk projek kecil,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju untuk melaksanakan inisiatif menghapus Ali Baba me­lalui penglibatan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara, kementerian serta agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Norhamila berkata, sudah sampai masanya industri pembinaan ditransformasikan dan pemutihan syarikat dilakukan secara agresif dan besar-besaran.

“Perlu dikenal pasti syarikat ali baba yang merosakkan ekosistem industri pembinaan.

“Tiada gunanya bilangan syarikat terlalu banyak tetapi kualiti yang ada cukup mendukacitakan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, untuk membanteras ali baba dalam industri pembinaan, beberapa syarat perlu diikuti oleh semua jabatan antaranya, tuan lesen sendiri mesti membeli dokumen tender, cuma masalahnya di sini borang sebut harga tender diisi secara dalam talian.

“Kedua, pihak yang didapati bersalah menyewakan lesen akan didakwa dan digantung lesen dan ketiga, untuk menerima surat serah kerja, tuan lesen dikehendaki hadir sendiri dan tidak boleh menghantar wakil.

“Tuan lesen perlu tandatangan surat aku janji tidak memberi dan menyerahkan kerja tanpa kebenaran Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini