KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa setiap warganegara hendaklah sentiasa menjunjung dan berpegang teguh dengan Perlembagaan serta undang-undang negara.
Titah baginda, selain itu, rakyat negeri ini khususnya perlu menjunjung dan berpegang teguh terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
Baginda bertitah, ia adalah kunci keadilan dan penyatuan selain sumber keharmonian dan kesejahteraan hidup.
“Inilah hasrat ulung daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW iaitu memaknakan negara dengan undang-undang yang adil dan pematuhan terhadapnya.
“Pada masa yang sama, agensi-agensi agama negeri hendaklah menjadi teraju bagi menggiatkan lagi usaha pembangunan kerohanian masyarakat sama ada ia berbentuk pengisian ilmu, pengimarahan masjid-masjid dan sebarang aktiviti yang seumpamanya.
“Demikian pula tanggungjawab rakyat setempat untuk mengambil bahagian, menyertainya dan jangan ditinggalkan sepi,” titah baginda merasmikan Majlis Maal Hijrah peringkat negeri ini di Dewan Sri Pulai, Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada usahawan berjaya yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),Tan Sri Datuk Seri Ariffin Mohd Yusuf.
Penerima anugerah lain adalah seperti Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs, Azlan Hussain (Anugerah Maaj Hjirah) dan Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan serta Ketua Polis negeri merangkap Ahli Majlis MAIPs, Datuk Surina Saad yang menerima Anugerah Jaaizah Maal Hijrah.
Sementara itu, baginda bertitah, penghayatan peristiwa hijrah dalam sirah perlu diterapkan kepada ummah. – UTUSAN










