BAGAN SERAI: Pertubuhan Kebajikan Kampit Rezeki mengambil pendekatan berbeza mencari sumber dana untuk aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan menjual ayam segar sekali gus menggalakkan orang ramai membuat kebajikan.
NGO itu terkenal di utara Perak kerana menyediakan bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan seperti katil pesakit dan kerusi roda secara wakaf.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Qolbin Salim Sulaiman, 40, berkata, keputusan berniaga ayam untuk menjana dana pertubuhan itu diambil setelah perbincangan bersama ahlinya.
Katanya, mereka menyedari kekangan kewangan dialami masyarakat akibat kos sara hidup tinggi yang mempengaruhi pemberian sumbangan kepada NGO.
“Kami mengambil pendekatan berniaga ayam segar sebagai satu usaha mencari dana pertubuhan selain menggalakkan orang ramai membuat kebajikan dalam situasi menang-menang dengan membeli ayam ini.
“Ayam segar dijual dengan harga RM9.20 sekilogram dan jumlah jualan dalam lingkungan 80 hingga 100 ekor sehari.
“Kami namakan Ayam Segar KR (Kampit Rezeki) supaya orang ramai tahu ayam yang dijual ini bertujuan mencari dana kebajikan.
“Setiap belian menjana kebajikan adalah motto perniagaan supaya pelanggan tahu wang yang dibayar membeli ayam digunakan untuk membeli alatan perkakas seperti katil khas pesakit, kerusi roda dan lampin pakai buang untuk kegunaan golongan daif,” katanya di Parit Air Itam, Alor Pongsu dekat sini.
Menurut Qolbin Salim, pertubuhan itu giat aktif dalam kerja-kerja kebajikan sejak enam tahun lalu namun hanya berdaftar pada 2021.
Jelasnya, semasa Covid-19, mereka fokus kepada bantuan keperluan makanan kepada keluarga daif dan yang terputus bekalan di Daerah Kerian, Larut Matang serta Selama. – UTUSAN