JPN komited perangi rasuah, tambah baik prosedur

JPN komited perangi rasuah, tambah baik prosedur

KERATAN laporan Uusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan mereka kekal komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di dalam agensi tersebut.

Ketua Pengarahnya, Zamri Misman berkata, JPN mengadakan pelbagai penambahbaikan dan program bagi memastikan tiada ruang untuk pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab.

“JPN kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan dengan melaksanakan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan.

“Selain mengadakan pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, selepas isu rasuah yang didakwa melibatkan Jabatan Imigresen, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan berlaku salah guna kuasa di JPN.

Perbuatan salah guna kuasa itu kata Perdana Menteri melibatkan proses mendapatkan sijil kewarganegaraan dalam kalangan mereka yang layak tetapi dikenakan bayaran tertentu sebelum memperoleh sijil berkenaan.

Sementara itu, Zamri turut mengingatkan orang ramai bahawa tiada ejen atau orang tengah yang dilantik bagi sebarang urusan di JPN.

“Jangan mempercayai sebarang tawaran perkhidmatan dari pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengenakan sebarang bayaran.

“Maklumat mengenai prosedur permohonan dan bayaran-bayaran dikenakan boleh dirujuk di portal rasmi JPN atau boleh hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN untuk mendapatkan nasihat berkaitan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN