KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengganti perkataan ‘bapa’ kepada perkataan ‘ibu bapa’ dahulu bagi membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara mendapat kerakyatan negara ini.
Pindaan itu membabitkan perkataan ‘bapa’ dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Ini berikutan kebimbangan Majlis Peguam cadangan kerajaan untuk meminda beberapa perkara lain membabitkan kewarganegaraan yang tidak sepatutnya dibuat pada masa ini, kerana berisiko menyukarkan lagi proses pemberian taraf kewarganegaraan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berkata, pihaknya hanya mahu pindaan itu diluluskan terlebih dahulu pada sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini, manakala isu berlainan berkaitan kewarganegaraan dikategori sebagai backburner atau perbincangan lanjut.
“Tuntutan kami mudah sahaja iaitu hanya ada satu pindaan pada perkataan ‘bapa’ untuk diganti dengan perkataan ‘ibu bapa’ dalam perlembagaan. Ia juga selari dengan apa yang dijanji sebelum pilihan raya umum lalu.
“Bagaimanapun, kini kerajaan nampaknya ‘menyuntik’ segala jenis syarat seperti garis masa, pendaftaran dan lain-lain jenis pindaan kewarganegaraan yang tidak perlu dan merumitkan isu utama. Jadi, ini yang akan menyebabkan kelewatan tuntutan kami.
“Beberapa pindaan yang kerajaan cari adalah apa yang saya anggap sebagai berlebihan kerana ia boleh ditangani dengan pindaan kepada undang-undang yang hanya memerlukan majoriti mudah. Kesemua syarat tidak sepatutnya ini yang menjadikan pindaannya bermasalah.
“Selesaikan dahulu hal ini dan isu baharu selebihnya pula diletak sebagai dalam pertimbangan. Kami meminta supaya tiada kelayakan atau syarat yang disertakan pada pindaan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.
Sejumlah lapan cadangan pindaan pada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan akan dipersembah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang akan diadakan selepas selesai pilihan raya negeri (PRN), bulan depan.
Bagaimanapun, dalam kertas cadangan sebanyak 10 halaman yang dilihat Utusan Malaysia, cadangan pindaan lain dikemukakan antaranya berkaitan pemberitahuan kelahiran dalam tempoh satu tahun dari tarikh lahir anak.
Cadangan lain antaranya memadam perkataan pemastautin tetap dalam Jadual Kedua Bahagian II (Perkara 14(1)(b)); meminda ‘tarikh perkahwinan’ dengan ‘tarikh pendaftaran’ dan memasukkan keperluan asas untuk kemahiran berbahasa Melayu dalam Perkara 15(1) Perlembagaan.

Baru-baru ini, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menggesa kerajaan kembali berunding dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemberian kewarganegaraan.
Ia dikhuatiri memudaratkan golongan rentan terutama kanak-kanak yang ‘terdampar’ atau terbuang tanpa dokumentasi. – UTUSAN










