KAMPAR: Seorang wanita berasa lega dan bersyukur apabila penantiannya untuk mendapatkan dokumen kelahiran dan pengenalan diri tiga anaknya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Mashitah Kamarulzaman, 39, berkata, ketiadaan dokumen kelahiran dan kad pengenalan diri menyukarkan ketiga-tiga anaknya untuk mendapatkan pendidikan di sekolah rendah dan menengah.
Malah katanya, dua anaknya yang kini berusia 22 dan 21 tahun juga sukar mendapatkan pekerjaan ekoran masalah sama.
“Daripada empat anak, hanya seorang sahaja yang memiliki dokumen kelahiran dan pengenalan diri. Setakat ini, hanya dia sahajalah yang bersekolah dan kini belajar di tingkatan satu.
“Abang dan kakaknya memang tidak bersekolah, jadi saya bimbang jika anak yang berusia sembilan tahun masih tidak mempunyai dokumen kelahiran, dia juga akan mengalami nasib serupa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi, Malim Nawar di sini hari ini.
Menurut Mashitah, dia dan suami, Hariandi Dimun, 40, mengakui kegagalan tiga anaknya mendapatkan dokumen pengenalan diri adalah berpunca daripada kesilapannya suami isteri.
Katanya, faktor tiada pengangkutan, kekangan kewangan selain dia dan suami buta huruf menyebabkan usaha mendapatkan dokumen pengenalan diri anak-anaknya tertangguh.
“Memang saya akui salah kami, bukan kami tidak pernah usaha, ada juga minta tolong orang untuk bawa ke pejabat pendaftaran tapi saya faham orang lain pun sibuk, jadi saya senyap sahajalah,” katanya.
Tambahnya, kesempitan hidup mereka sekeluarga dengan dia bekerja sebagai pembantu kedai makan dan suami sebagai pekerja kontrak menyebabkan anak-anaknya sering menjadi mangsa ejekan rakan-rakan.
“Anak-anak saya malu bila diejek miskin dan tiada kad pengenalan. Malah, anak yang bersekolah pun sudah hampir sebulan tidak ke sekolah kerana diejek miskin, bodoh dan tidak berguna.
“Sekarang saya hanya fikirkan masa depan mereka. Anak-anak yang dewasa pun risau apabila mereka susah dapat kerja dan tidak boleh bergerak jauh kerana tiada kad pengenalan,” katanya.
Mashitah berkata, dengan pendapatan tidak menentu, dia turut menanggung empat anak saudara berusia 10 tahun hingga setahun enam bulan dan ibu berusia 61 tahun yang menghidap kanser ovari tahap tiga.
Sementara itu, Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi ketika ditemui selepas melawat keluarga berkenaan berkata, pihaknya akan membantu ketiga-tiga anak Mashitah memperoleh dokumen pengenalan diri.
Katanya, dokumen berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan akan diproses dalam masa terdekat.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan memproses dokumen bagi mendapatkan bantuan bulanan untuk ibu Mashitah yang menghidap kanser ovari,” katanya. – UTUSAN