MARANG: Seorang peniaga menghasilkan pelbagai produk makanan tradisional yang berasaskan kelapa sebagai sumber pendapatan sejak 20 tahun lalu.
Mohd. Kahni Habsu, 57, dari Kampung Batu Putih di sini berkata, dia mengusahakan kira-kira 10 produk makanan tradisional yang semakin sukar ditemukan seperti nisan kerek atau lebih dikenali sebagai gula Melaka, lok lik, nisan nyor, dodol daun palas, kerak telur dan air nira.
Menurutnya, isteri, Suri Abdul Ghani, 54, dan kesemua lima anak dan seorang menantu turut terlibat dalam perniagaan tersebut.
Katanya, lebih menarik apabila adiknya, Siti Aminah, 56, bersama suami, Rahmat Hidayat, 74, mengusahakan perusahaan berasaskan kelapa bersama tujuh anaknya.
“Paling istimewa adalah kuih kerak telur dan dikatakan hanya keluarga kami yang hasilkannya di Terengganu ketika ini.
“Semua produk dihasilkan ini dijual di Dataran Batu Putih dan ada juga pelanggan datang membeli di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Putih, dekat sini semalam.
Mohd. Kahni memberitahu, sebanyak 5,000 biji kelapa diperlukan pada setiap bulan untuk menghasilkan produk makanan tersebut bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Saya turut mengusahakan kebun kelapa seluas satu hektar untuk menampung keperluan buah kelapa,” jelasnya.
Sementara itu tambahnya, anak dan menantunya juga membantu memasarkan produk makanan tradisional tersebut di media sosial termasuk aplikasi TikTok. – UTUSAN