KUALA LUMPUR: Hukuman gantung masih wujud memandangkan kerajaan hanya memansuhkan mati mandatori.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, justeru itu tiada kebimbangan berhubung pandangan sesetengah yang khuatir peningkatan jenayah ekoran penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
“Tiada, hukuman gantung masih ada. Tetapi tidak diputuskan dalam undang-undang. Ia harus didengar oleh hakim, saya rasa ia lebih adil,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini.
Bermula 4 Julai lalu, tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.
Langkah itu merupakan antara reformasi undang-undang Kerajaan Perpaduan sebagai langkah awal dalam mentransformasikan sistem keadilan jenayah di Malaysia. – UTUSAN










