Hakim terkhilaf tentukan isu bahasa pengantar sekolah vernakular - Peguam

Hakim terkhilaf tentukan isu bahasa pengantar sekolah vernakular – Peguam

Mahkamah Persekutuan tetapkan 20 Februari ini untuk pendengaran permohonan dua NGO untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keabsahan penubuhan sekolah vernakular. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular adalah sah serta berperlembagaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah, Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali turut terkhilaf apabila memutuskan penggunaan kedua-dua bahasa itu dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

Hujah beliau, hakim berkenaan juga terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan sekolah vernakular atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bukan pihak berkuasa awam (Public Authorities) atau badan awam kerana tidak memenuhi elemen awam.

Sebaliknya, Mohamed Haniff berhujah, sekolah vernakular merupakan pihak berkuasa awam dan diwajibkan menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pengantara pengajaran dan pembelajaran.

Beliau menghujahkan, hakim berkenaan turut terkhilaf ketika melupuskan kes saman itu secara terus menerusi Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Hujah peguam itu, ini kerana ia menafikan hak perayu untuk memanggil saksi bagi memberi keterangan bagaimana kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menimbulkan keadaan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Mohamed Haniff Khatri memohon Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Malaysia.

NGO berkenaan memohon mendapatkan deklarasi bahawa kewujudan sekolah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perayu-perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Prosiding itu turut melibatkan rayuan kumpulan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 29 Mei 2022.

Hakim Mohd. Abazafree Mohd. Abbas menolak saman i-Guru yang memohon perisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, sebagai tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua rayuan didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.

Mahkamah kemudian menetapkan pengurusan kes hari ini bagi menentukan tarikh pendengaran rayuan berikutnya.

NGO berkenaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN