ALOR SETAR: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah mahu menyumbang kepada bidang pendidikan negeri yang menjadi tunjang aspek kehidupan.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memilih untuk bersara awal sebagai ahli akademik pada usia 50 tahun itu berkata, beliau juga berhasrat menyumbang bakti kepada agenda membela agama, bangsa dan negara melalui platform politik.
“Berdasarkan latar belakang pendidikan dan pengalaman, saya akan bantu negeri Kedah untuk bangunkan bidang pendidikan dengan melahirkan seramai mungkin anak-anak Kedah yang cemerlang.
“Selain itu, saya juga akan melihat ruang dan peluang pelajar menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran yang mana ia boleh membina kerjaya hebat,” katanya di sini semalam.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Haim Hilman ditentang calon Pakatan Harapan (PH), Datin Sabrina Ahmad.
Tambahnya, beliau mempunyai aspirasi besar untuk membangunkan kawasan Jitra daripada semua aspek kehidupan.
“Jika dilihat daripada sudut pendidikan, DUN Jitra berada di daerah Kubang Pasu yang mana ia adalah sebuah bandar ilmu menempatkan banyak institusi pendidikan.
“Kita ingin pastikan bahawa institusi itu mampu lahirkan modal insan bertaraf kelas pertama yang mana mereka ini menjadi kebanggaan kita,” ujarnya.
Selain itu, katanya, beliau yakin boleh membantu membangunkan ekonomi Kedah termasuk memberi fokus kepada peluang pekerjaan dan pelancongan negeri.
“Ini kerana Kedah akan bergerak menuju negeri maju seperti yang kita impikan mengikut Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035,” jelasnya.
Beliau pada masa sama melihat PN mendapat sokongan padu daripada golongan muda kerana gabungan itu menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah kerajaan yang bersih, progresif dan stabil. – UTUSAN











