KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Zulkeflie M Osman menegaskan persatuan itu belum berkubur walaupun dibatalkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuatkuasa, 7 Jun lalu.
Bagaimanapun, Zulkeflie yang kini memangku jawatan Presiden enggan mengulas lanjut berhubung nasib FDAM dan berusaha menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.
“Saya tak nak komen banyak sebab tak sesuai buat masa sekarang. Namun, saya tegaskan FDAM belum berkubur.
“Insya-Allah isu yang timbul akan diperbaiki segera. Sebagai pemangku, saya bertanggungjawab menyebarkan semua info berkaitan persatuan.
“Sekiranya FDAM dapat diselamatkan, kami akan buat Mesyuarat Agung (AGM) untuk pemilihan organisasi baharu. Saya galakkan keputusan pemilihan daripada ahli-ahli FDAM,” katanya semasa ditemui selepas solat jenazah Presiden FDAM, Mat London di pekarangan Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati, Ulu Klang, di sini, semalam.
Mengulas pemergian Allahyarham Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim, 74, Zulkifli berkata, arwah adalah seorang individu yang sangat disayangi ramai oleh anak didiknya.
Katanya, arwah banyak meninggalkan ilmu berkaitan industri seni untuk dijadikan panduan kepada mereka yang pernah menuntut ilmu dengannya.
“Saya kerap lawat dia di hospital. Jadi, memang terasa sedih sebab kalau melihat perkembangan dia seperti semakin okey.
“Tapi bila Allah dah panggil (ajal), itu jalan yang perlu kita reda. Arwah Mat London meninggalkan kita pada hari Jumaat, sudah tentu banyak hikmahnya,” katanya.
Mat London meninggal dunia pada pukul 5.57 pagi semalam, akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk jangkitan kuman pada paru-paru di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.
Terkenal dengan watak Pak Karim dalam drama bersiri Kampong Pisang Bersiri-Siri, arwah meninggalkan enam cahaya mata melalui perkahwinan pertama dengan isteri, Saodah Abdul Wahab, manakala, dua lagi anak bersama bekas isteri yang juga pelakon veteran, Fadilah Mansor.
Bagaimanapun, perkahwinan dengan Fadilah tidak bertahan lama selepas pasangan itu bercerai pada 2012.










