Exco minta JKM bantu persekolahan anak mangsa kemalangan maut - Utusan Malaysia

Exco minta JKM bantu persekolahan anak mangsa kemalangan maut

SALBIAH Mohamed ketika berjumpa dengan Muhd. Ikman Hafifi (kiri) dan Muhd. Aiman Danial (tengah), anak pasangan suami isteri yang maut kemalangan semalam pada pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh dekat Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kerajaan negeri akan membantu anak-anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Gopeng semalam, khususnya dari segi persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, beliau akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melihat perkara itu kerana difahamkan kesemua empat anak pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam kemalangan semalam masih belajar.

Menurutnya, dalam masa yang sama kerajaan negeri juga akan memberikan sumbangan kepada anak-anak mangsa.

“Kita akan minta JKM bantu dari segi persekolahan sebab saya difahamkan anak-anak mangsa masih belajar, ada yang yang belajar di Kolej Matrikulasi, jadi saya akan minta bantuan JKM melihat keperluan pelajaran mereka.

“Saya difahamkan pasangan suami isteri ini meninggalkan empat anak, seorang anak mangsa cedera dalam kemalangan semalam iaitu anak bongsu yang berusia tujuh tahun, bermakna masih bersekolah manakala seorang lagi baru mendaftar masuk Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng.

“Kerajaan negeri bersimpati terhadap kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang semalam, pasangan suami isteri, Mohd. Ramddan Abd. Rahim, 44, dan Kisdalliana Saad, 43, maut selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu.

Dalam kejadian itu, ibu Kisdalliana berusia 63 tahun yang juga pemandu kereta Proton Perdana dan anak perempuan pasangan tersebut berusia tujuh tahun, cedera parah.

Pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka ke Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng dan keluar membeli barangan keperluan di Pekan Gopeng sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barang yang dibeli.

Pasangan itu meninggalkan empat orang anak iaitu anak sulung, Norfatin Syafikah, anak kedua, Muhd. Ikman Hafifi, 17, Muhd. Aiman Danial, 13, dan Nurfatihah Najihah, 7 tahun.

Sementara itu, jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam dua liang lahat bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN