PETALING JAYA: Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyifatkan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang pada 12 Ogos ini bukan mengenai kaum mahupun agama tetapi tentang kebangkitan negara.
Kit Siang berkata, PRN yang melibatkan enam buah negeri itu bukan mengenai kaum atau agama kerana tidak ada mana-mana kaum dan agama di dalam negara yang sedang terancam.
“PRN untuk Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu akan menjadi satu ujian yang menentukan sama ada para pengundi di Malaysia ditenggelami oleh tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, serta ucapan kebencian dalam era media sosial.
“Contohnya, kononnya kaum Melayu dan agama Islam sedang terancam. Perkara ini disebarkan oleh dua pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri negara selama hampir suku abad.
“Sekiranya benar Melayu dan Islam sedang terancam selepas dua pemimpin ini sudah menjadi Perdana Menteri selama hampir suku abad, maka merekalah yang perlu bertanggungjawab kerana negara kita hanya berusia 66 tahun pada bulan hadapan.
“Seorang lagi pemimpin politik pula telah menuduh saya sebagai kononnya seorang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis tetapi apabila dicabar untuk membuktikan tuduhannya ini, dia gagal memberikan sebarang bukti daripada kehidupan politik saya selama 58 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Kit Siang yang juga bekas Pengerusi DAP berkata, enam PRN diadakan bakal menentukan sama ada Malaysia dapat bangkit semula untuk menjadi sebuah negara yang bertaraf dunia dengan mencapai lebih daripada jangkaan.
Jelasnya, pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Ekonomi Madani menunjukkan beberapa perkara yang menonjol dan beliau sendiri percaya dengan perkara tersebut.
“Dengan visi-visi Ekonomi Madani ini, Anwar meletakkan negara kita dalam hala tuju untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat yang berjaya mencapai lebih dari apa yang dijangkakan darinya dan bukannya terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain seperti dalam beberapa dekad yang lepas.
“Kita sudah pun ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, Vietnam. Apakah kita bakal ditinggalkan di belakang Indonesia, China, dan India atau lebih buruk lagi, menerima nasib sebagai sebuah negara yang gagal dan berpecah-belah seperti Sri Lanka,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat.
Katanya, PN masih giat menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu dan ucapan kebencian dengan mengatakan bahawa kaum Melayu dan akan Islam kini sedang berada dalam situasi yang terancam.
“Bagaimanakah penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian sebegini boleh dipercayai? Populasi orang Islam dijangkakan berkembang lebih dari dua kali ganda lebih pantas berbanding dengan perkembangan populasi global di antara tahun 2015 hingga 2060. Dalam setengah kedua abad ini, angka penganut agama Islam dijangkakan akan melepasi jumlah penganut agama Kristian sebagai kumpulan agama terbesar dunia.
“Setakat Bancian Populasi dan Perumahan 2020, 63.5 peratus populasi negara mengamalkan agama Islam, 18.7 peratus Buddha, 9.1 peratus Kristian, 6.1 Hindu dan 2.7 peratus lain-lain agama atau tidak memberikan maklumat. Terdapat kira-kira 70,000 masjid di Malaysia, adakah Islam sedang terancam di Malaysia?” soalnya. – UTUSAN