Enam bulan boleh tahu, bagaimana urusan MBI tak tahu - Saifuddin

Enam bulan boleh tahu, bagaimana urusan MBI tak tahu – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hairan bagaimana Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi jawapan tidak tahu mengenai hal ehwal pentadbiran Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

Ini kerana menurut Saifuddin, Muhammad Sanusi sendiri baru-baru ini yang mendedahkan kononnya sudah tahu plot untuk mengenakan beliau yang didakwa telah dirancang sejak enam bulan lalu.

Katanya, kenyataan dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bahawa tidak perlu menjawab kerana tidak relevan dengannya bukan maklum balas yang sebetulnya kerana perkara yang berlaku terletak di bawah agensi kawal selianya seperti Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

“Enam bulan dulu dia nak ditangkap dia dah tahu, tak akan (perkara) berlaku bawah bumbung dia (MBI), dia tak tahu. Kenyataan itu jelas kenyataan cuci tangan dan tidak mahu mengambil tanggungjawab setelah saya kemukakan persoalan terhadapnya.

“Saya tanya apa status mereka (dua warga China), berapa bayaran diberikan setelah seorang daripadanya tertangkap. Tangkapan kerana menyalahi undang-undang negara, agensi-agensi ini tak tangkap saja-saja dan setelah itu maka MBI yang Pengerusinya Sanusi mesti buat kenyataan kerana rakyat Kedah nak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ramah mesra Lagenda Badminton Negara, Datuk Rashid Sidek di Dewan Badminton Taman Wira Mergong, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menegaskan tiada keperluan untuk beliau menjawab soalan ahli politik lawan yang dikemukakan terhadapnya melalui media kerana mereka bukan pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap isu yang timbul.

Ia susulan, Saifuddin baru-baru ini menyatakan mahu mengetahui daripada Muhammad Sanusi sendiri mengenai keberadaan dua warga China yang ditawarkan bekerja dengan MBI Kedah dan mempunyai kaitan dengan projek unsur nadir bumi (REE), sebelum Menteri Besar itu menjawab tidak tahu menahu mengenai status dua lelaki terbabit.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu REE bukan ‘sumbang saran’ Pakatan Harapan (PH) yang digunakan untuk berkomplot terhadap Muhammad Sanusi dan kerajaan negeri, sebaliknya ia melibatkan isu tatakelola di mana hasil negeri tidak diuruskan secara bertanggungjawab.

“Apa yang saya dedahkan memang sah berlaku pemunggahan REE secara tidak mengikut undang-undang. Mengukuhkan kenyataan saya adalah pertamanya Jabatan Perhutanan Kedah buat tangkapan dan pendakwaan. Jabatan Mineral dan Geosains juga buka kertas siasatan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis juga sedang melakukan tangkapan.

“Oleh kerana kompartmen itu (lokasi kecurian) melibatkan kompartmen milik MBI dan membabitkan Sanusi sendiri yang memohon mereka (pekerja asing) masuk dengan pas lawatan ikhtisas, jadi mana mungkin dia boleh cuci tangan.

“Jadi kenyataan bahawa dia tidak perlu menjawab dan dia relaks sahaja jelas menunjukkan tak betul lah kerana sebenarnya itu menunjukkan tanda-tanda dia panik, tak berani berdepan dan berbeza dengan watak dia sebelum ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×