MIRI: Empat nelayan dilaporkan hilang dan dua telah ditemukan sejauh 8.6 batu nautika dari Kuala Bakam Miri pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terapung sambil berpaut pada bot yang terbalik dan separuh tenggelam akibat dibadai ombak kuat.
“Pada SAR hari pertama (semalam) lebih kurang jam 3.30 petang, dua orang hilang yang menaiki bot telah dijumpai di laut iaitu 8.6 batu nautika dari Kuala Bakam Miri dalam keadaan terapung sambil berpaut pada bot yang terbalik dan separuh tenggelam akibat dibadai ombak yang kuat.
“Kedua-dua mangsa telah dibawa oleh pihak maritim ke jeti Marina Bay dalam keadaan baik dan tiada sebarang kecederaan yang serius,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri telah mengesahkan dua laporan polis berhubung individu yang hilang di laut perairan daerah Miri yang diterima di Balai Polis Pusat Miri semalam.
“Laporan pertama diterima sekitar pukul 11.40 pagi dari seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun memaklumkan satu bot nelayan berserta tiga nelayan turun ke laut untuk memancing ikan dipercayai menuju ke arah platform lang perairan Miri.
“Manakala laporan kedua diterima pada jam sekitar 1:03 petang dari seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun memaklumkan satu bot nelayan berserta tiga nelayan turun ke laut untuk memukat ikan.
“Justeru itu operasi telah diaktifkan sejurus menerima maklumat berkenaan diketuai pasukan Maritim Zon Miri dengan bantuan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri untuk pencarian di kawasan laut dalam manakala pasukan polis marin dan nelayan tempatan membuat pencarian di kawasan pinggir pantai,” katanya.
Sehingga kini, operasi SAR masih diteruskan untuk mencari empat orang nelayan yang masih hilang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis IPD Miri di talian 085-432533. – UTUSAN










