Dulu berniaga guna motor kini ada kedai salon

Dulu berniaga guna motor kini ada kedai salon

TEH Jaafar di kedai perniagaan salon dan kecantikan yang diusahakannya di One Stop Centre Bawong di Sungai Siput,Perak. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Selama hampir sembilan tahun menjalankan perniagaan salon dan kecantikan bergerak dari rumah ke rumah pelanggan menggunakan motosikal di sekitar Sungai Siput, Teh Jaafar kini dapat berniaga dengan lebih selesa apabila ditempatkan di lot kedai One Stop Centre Bawong, Kampung Bawong, di sini.

Ibu kepada tiga anak berusia 34 tahun itu berkata, semuanya adalah hasil bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri yang sentiasa prihatin terhadap usahawan Orang Asli.

Menurutnya, dia gembira apabila diberi peluang menjalankan perniagaannya di lot kedai tersebut setelah sebelum ini bermotosikal ke rumah pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya.

TEH Jaafar menggunting rambut pelanggan di kedai perniagaan salon dan kecantikkan yang diusahakannya di One Stop Centre Bawong, Kampung Bawong, Sungai Siput. – UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS

“Saya mula menjalankan perniagaan di One Stop Centre Bawong ini pada Disember lalu. Saya sangat gembira dan terharu kerana bukan mudah untuk mendapat peluang terpilih untuk ditempatkan di sini, banyak proses yang perlu dilalui seperti temu duga untuk menilai sejauh mana potensi dan kemampuan saya dalam perniagaan ini.

“Apabila mendapat ruang perniagaan yang besar dan selesa, saya mempelbagaikan perniagaan dengan menghasilkan produk kecantikan sendiri seperti minyak rambut dan minyak mengurut yang diproses secara organik. Malah saya berhasrat menghasilkan produk sabun.

“Bantuan kerajaan ini benar-benar membantu saya mengembangkan lagi perniagaan saya hingga dapat berniaga di tempat yang selesa di One Stop Centre Bawong ini,” katanya.

Menurut Teh, kursus kemahiran yang disertainya sebelum ini juga banyak membantunya menyakinkan pihak yang berkenaan untuk dia diberi peluang ditempatkan di lot perniagaan di One Stop Centre Bawong.

“Saya menjalani kursus kemahiran dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan, termasuk agensi kerajaan negeri iaitu Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030 yang turut memberikan saya elaun semasa latihan.

“Terima kasih Menteri Besar dan kerajaan negeri. Selain diberikan kursus latihan, pelbagai agensi lain juga membantu saya dari segi pembelian peralatan perniagaan sehingga saya dapat membuka kedai salon dan kecantikan yang selesa,” katanya.

Sementara itu, Teh menyimpan hasrat yang lebih besar iaitu mahu berkongsi kemahirannya dalam bidang salon dan kecantikan dengan anak-anak Orang Asli di daerah ini terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, ini kerana dia mendapati golongan itu tiada peluang pekerjaan selepas mereka habis belajar.

“Saya pernah mengadakan kelas asas menggunting rambut di Tapah. Dari situ saya berminat untuk mengadakan kelas kemahiran salon dan kecantikan dan sedia mengajar anak-anak Orang Asli, ia boleh dibuat di lot kedai saya ini.

“Saya mahu macam mana susahnya saya semasa nak belajar dahulu, macam itulah saya nak ajar mereka.

“Walaupun mungkin saya hanya sempat mengambil hanya sedikit ilmu sikit semasa latihan kemahiran dulu, tapi saya tetap nak berkongsi dengan mereka, saya rasa nilainya sangat besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN