Dera: Jangan tangkap muat pilih guru taska, pengasuh - Utusan Malaysia

Dera: Jangan tangkap muat pilih guru taska, pengasuh

TINA Tajuddin menunjukkan sijil-sijil kelayakan untuk sebuah taska beroperasi dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kejadian penderaan terhadap anak-anak asuhan seharusnya menjadi pengajaran kepada pengusaha taska dan ibu bapa untuk memilih guru taska dan pengasuh yang berkelayakan.

Penggiat dan Aktivis Pendidikan Awal Kanak-kanak, Tina Tajuddin berkata, pengambilan guru taska dan pengasuh secara tangkap muat tidak wajar berlaku kerana ibu bapa meletakkan harapan tinggi untuk anak-anak mereka dijaga dengan baik.

Katanya, beberapa insiden yang berlaku hingga menyebabkan kecederaan dan kematian mengingatkan kita tentang kepentingan mencari guru taska dan pengasuh berkualiti dan berdedikasi bagi melindungi anak-anak.

“Tadika dan taska merupakan tempat yang harus memberikan lingkungan yang selamat dan berkualiti bagi perkembangan kanak-kanak.

“Ibu bapa yang memberi kepercayaan anak-anak mereka ke dalam penjagaan tadika dan taska mempunyai hak untuk mengetahui bahawa anak-anak itu berada dalam tangan yang aman dan dijaga dengan sepenuh jiwa oleh guru-guru yang berkualiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, setiap pengusaha taska perlu memiliki ilmu pendidikan awal kanak-kanak kerana ia akan memberi kesan kepada pengambilan guru dan pengasuh yang berkelayakan.

Katanya, setiap guru atau pengasuh perlu disaring bagi memastikan hanya yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab ke atas kebajikan dan keselamatan anak asuhan diterima bekerja.

“Sudah tiba masanya kerjaya guru tadika atau pengasuh taska diberikan tumpuan lebih serius. Saya berpendapat guru atau pengasuh yang terlibat isu penderaan telah menceburi bidang ini secara bidan terjun.

“Ada diantara mereka tidak minat untuk menjaga kanak-kanak tetapi disebabkan terpaksa bukan datang dari jiwa. Bidang yang dikatakan mudah dan suka menjadi guru disebabkan kanak-kanak ini comel perlu ditangkis,” katanya.

Tambahnya, pengusaha taska perlu mengambil guru bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tetapi mempunyai jiwa sebagai guru.

“Lambakan program pendidikan awal kanak-kanak tidak membantu sekiranya hanya menawarkan atas dasar keuntungan semata-mata.

“Sudah tiba masanya kriteria untuk mereka yang ingin menceburi bidang ini mendapat bimbingan yang betul kerana pendidikan awal kanak-kanak adalah salah satu kerjaya yang luhur.

“Disebabkan kes-kes penderaan yang berlaku, ia telah mencemarkan kerjaya itu dan secara tidak langsung menyebabkan persepsi negatif kepada kami yang menjalankan bidang ini mengikut standard yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN