KULAI: DAP bersifat positif dan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan serta kritikan mana-mana pihak terhadapnya, termasuk daripada MCA.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, apa yang penting kritikan itu mestilah bersikap membina dan bukan menjatuhkan semata-mata.
“Bukan MCA sahaja tetapi mana-mana Ahli Parlimen boleh memberikan kritikan yang konstruktif, bermaksud bukannya bila kita jadi kerajaan, jemaah menteri tak boleh dikritik.
“Asalkan kritikan itu adalah yang membina dan menawarkan satu solusi yang memberi manfaat kepada rakyat, kita alu-alukan asalkan bukan kritikan yang mahu cari gaduh,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Daerah Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai (Bahagian Sektor Pengurusan), Mohd. Yusof Katmi.
Jumaat lalu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata, MCA akan terus mengkritik Pakatan Harapan (PH) dan DAP walaupun telah menjadi sebahagian daripada blok Kerajaan Perpaduan.
Menurut Lian Ker, MCA secara khusus akan terus mengkritik sekiranya ada mana-mana parti politik yang mungkir janji, bersifat hipokrit, gagal mentadbir dan berbohong.
Sehubungan itu, Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP Johor memberitahu, DAP tidak pernah menganggap parti itu sebagai sebuah parti politik yang sempurna apabila berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai 46 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan komputer manakala lapan pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima komputer riba serta wang tunai RM500. – UTUSAN










