KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama dengan GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur.
Ia termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan langkah ke hadapan sejajar kedudukan Malaysia dalam tangga ke-20 dunia berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula negara mencecah AS$46 billion bagi tempoh separuh pertama 2020 sehingga 2022.
Selain itu katanya, kedua adalah memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
“Memperuntukkan tambahan RM100 juta bagi mempergiatkan ekosistem R&D&C&I (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi) dengan tumpuan kepada keperluan industri, tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan serta aktiviti pertumbuhan baharu.
“Ini juga sebahagian daripada usaha untuk mencapai Gross Domestic Expenditure on R&D (GERD) sebanyak 3.5 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kedudukan kepada 20 teratas dalam Global Innovation Index (GII) menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara di sini hari ini. – UTUSAN










