KOTA BHARU: Dana sebanyak RM30 Juta menerusi Belanjawan Kelantan 2023 yang didakwa oleh Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai penyelewengan untuk tujuan pilihan raya negeri (PRN) telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semasa Persidangan Kali Ke-3 (Belanjawan), 27 November tahun lalu.
Pejabat Menteri Besar Kelantan menerusi satu kenyataan semalam memaklumkan, perkara tersebut telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 itu diluluskan dengan penuh teratur, telus dan berintegriti.
“Dana RM30 juta itu berkaitan projek-projek khas bagi peruntukan jaminan bekalan makanan sebanyak RM10 juta, projek-projek kecil (RM8 juta), projek menangani banjir kilat (RM5 juta), pinjaman mikro kredit (RM3 juta) dan projek air komuniti di bawah bekalan sumber air dan bekalan air alternatif sebanyak RM4 juta.
“Oleh itu, kita (Pejabat Menteri Besar Kelantan) mengambil serius berkaitan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang telah dibuat oleh Pemuda PH dan BN terhadap dakwaan menyalah guna peruntukan projek-projek khas RM30 juta bagi tujuan PRN,” katanya.
Pejabat Menteri Besar Kelantan memberitahu, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan imej Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kelantan menjelang PRN,” ujarnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Pemuda PH Kelantan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait keraguan mengenai dana projek khas berjumlah RM30 juta yang dibentang oleh kerajaan negeri menerusi Bajet Negeri Kelantan 2023.
Ketuanya, Zulhazmi Hassan berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati terdapat keraguan besar dana tersebut akan disalah guna untuk tujuan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. – UTUSAN











