Cikgu Non yakin lebih 40 peratus bekas pelajarnya akan undi cikgu mereka - Utusan Malaysia

Cikgu Non yakin lebih 40 peratus bekas pelajarnya akan undi cikgu mereka

ZAINOL Abidin Mohamad (kanan) turun padang bagi menziarahi penduduk di Kampung Gelong Rambai, Tunjang, Kedah hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad yakin lebih 40 peratus bekas pelajarnya akan mengundi guru mereka.

Zainol atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non,65, berkata, kebanyakan bekas pelajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun menghubunginya sebelum ini dan memaklumkan akan mengundi beliau kali ini.

Beliau yang berkhidmat selama 27 tahun di sekolah berkenaan juga optimis ramai dalam kalangan bekas pelajarnya akan mengundi BN walaupun ada di antara mereka menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Saya memang nampak mereka yang duduk di luar juga teruja apabila bekas guru mereka ini tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dan ramai juga menghubungi saya sendiri dan akan pulang bagi menyatakan sokongan.

“Kebanyakan daripada mereka juga kecewa apabila calon yang dipilih di Parlimen Kubang Pasu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat di sini,” katanya sewaktu turun padang bagi menziarahi penduduk di Kampung Gelong Rambai, di sini, hari ini.

Zainol bakal berdepan penyandang kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang mewakili PN dan juga merupakan bekas pelajarnya.

Halimaton memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 2,153 undi menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Ahmad Zaini Japar (BN) dan Habshah Bakar (Pas).

Dalam pada itu, mengulas mengenai perjalanan kempennya setakat ini, Zainol berkata, beliau bersama jentera parti telah turun ke 20 peratus kawasan DUN berkenaan sejak hari pencalonan pada Sabtu lalu.

“Insya-Allah kita yakin akan dapat turun ke semua kawasan menjelang hari pengundian bagi mendekati seluruh pengundi di kawasan ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sudah lama memberikan perkhidmatan buat penduduk di kawasan itu dalam membantu masyarakat khususnya ketika ditimpa musibah.

“Bagi saya anak muda kini memang dapat melihat gelombang PN tapi mereka lebih mahukan pemimpin anak tempatan yang dapat membantu mereka khususnya ketika ditimpa musibah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya