Cari ibu kandung untuk ambil anak angkat - Utusan Malaysia

Cari ibu kandung untuk ambil anak angkat

NUR SYAHILAH Iskandar dan Nur Muhammad Adam menunjukkan laporan polis mencari ibu kandung yang dibuat di Cheng, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita dari Taman Rambai Utama di sini mencari ibu kandung Nur Muhammad Adam, 11, bagi memudahkan urusan pengambilan anak angkat dan membuat MyKad.

Ini kerana kanak-kanak yang tinggal bersamanya itu tidak mempunyai sebarang dokumen melainkan sijil kelahiran yang baru diperoleh pada Mac lalu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nur Syahilah Iskandar, 39, berkata, bapa Nur Muhammad Adam yang juga sepupunya merupakan warga tempatan manakala ibu kanak-kanak itu warga Indonesia tetapi menghilangkan diri sejak lebih tiga tahun lalu.

Katanya, dia kini dalam pro­ses memohon perakuan anak angkat bagi memudahkan Nur Muhammad Adam memiliki MyKad dan dapat bersekolah seperti kanak-kanak seusianya.

“Anak angkat saya tidak pernah bersekolah sebelum ini ke­rana tidak memiliki sebarang dokumen termasuk sijil kelahiran. Justeru, saya dalam proses untuk mendapatkan MyKad tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memerlukan persetujuan ibu kandung secara rasmi bagi memudahkan urusan.

“Selain itu, baru-baru ini, saya berjumpa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah bagi proses perakuan anak angkat secara sah dan mereka menyarankan saya mencari ibu kandungnya bagi memudahkan prosedur.

“Namun, usaha saya mencari ibu kandung yang dikenali sebagai Yusmah dan tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur gagal dikesan,” katanya.

Tambah Nur Syahilah yang berkhidmat sebagai seorang guru, dia berhasrat untuk menjadikan Nur Muhammad Adam sebagai anak angkat selepas mendapati sepupunya tidak berupaya menjaga kanak-kanak berkenaan.

“Saya sedih melihat anak saudara saya ini tidak pernah bersekolah serta tidak memiliki MyKad dan masa depannya tidak akan menentu dan bakal menjadi masalah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN