Calon BN Kedah diterima ahli, rakyat

Calon BN Kedah diterima ahli, rakyat

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Setiap calon yang ditampilkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah diyakini boleh diterima rakyat dan mampu menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah menjalankan saringan dan tinjauan mengenai penerimaan terhadap calon-calon tersebut sebelum menyerahkan nama mereka kepada kepimpinan pusat untuk dinilai dan diputuskan.

“Kami menetapkan kriteria bahawa individu yang nak dicalonkan tidak hanya perlu diterima ahli parti, malah mendapat sokongan rakyat. Sebabnya yang nak mengundi nanti bukan hanya ahli BN saja malah kita perlukan sokongan orang lain juga untuk menang. Kita nilai juga pengalaman dan penglibatan mereka dalam bidang kemasyarakatan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setelah melalui penilaian dan tinjauan itu, maka inilah calon-calon yang kita tonjolkan dengan ada antaranya sangat aktif dengan NGO, golongan profesional serta bekerja dengan syarikat multinasional. Dari situ, terbentuklah kombinasi antara orang lama dan baharu yang diumumkan kelmarin,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu di Pejabat UMNO Padang Terap di Kuala Nerang, hari ini.

Daripada 15 kerusi yang ditandingi BN, gabungan itu menampilkan lebih 10 muka baharu manakala dua penyandang kerusi parti itu di Kedah sebelum ini, Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Datuk Norsabrina Mohd. Noor (Bandar Baharu) tidak dicalonkan.

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, setakat ini pihaknya menerima maklum balas baik daripada ahli parti mengenai calon-calon yang diketengahkan.

“Mungkin ada sikit-sikit timbul isu individu dijangka bertanding tak dicalonkan, tetapi itu perkara biasa. Dalam memastikan parti menang, kita tetap perlu memberi sokongan penuh kepada calon-calon yang sudah diputuskan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri berkata, BN dan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan melancarkan manifesto serta memperkenalkan sekali lagi calon mereka secara bersama-sama dalam satu majlis tidak lama lagi.

“Majlis itu mungkin akan diadakan beberapa hari sebelum penamaan calon. Pada majlis itu juga kita mungkin akan mengumumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai yang masih belum diumumkan lagi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN