Bunuh: Enam warga Indonesia diheret ke mahkamah - Utusan Malaysia

Bunuh: Enam warga Indonesia diheret ke mahkamah

Bunuh
ENAM suspek dibawa warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan bunuh rakan senegara mereka, di Mahkamah Majistret, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Enam warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini kerana didakwa membunuh rakan senegara mereka yang merupakan seorang kontraktor binaan, awal bulan ini.

Tertuduh Marco,24; Ahmad,32; Marhadi,35; Pusidin,42, Mohammad,46 dan seorang remaja Mohamad Sawi, 19, mengangguk di hadapan Majistret Muhamad Reza Azhar Rezali selepas pertuduhan dibacakan bersama ke atas mereka.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada keenam-enam tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka bersama seorang lagi dikatakan masih bebas didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Dul Safik dalam bilik sebuah premis di Jalan Bukit Kemuning Batu 8 di sini pada pukul 10 malam, 2 Julai lalu.

Justeru, mereka dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Muhammad Hidhir Mustapa. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September depan.

Terdahulu polis memaklumkan penemuan mayat hampir reput dalam bonet sebuah kereta oleh orang awam yang terhidu bau busuk daripada kenderaan itu di tepi tepi jalan di Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di sini.

Mayat kontraktor binaan berusia 47 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 3.25 petang selepas polis menerima panggilan daripada orang awam yang melalui lokasi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya