Bersih cadang kerajaan, pembangkang tandatangani MOU selepas PRN

Bersih cadang kerajaan, pembangkang tandatangani MOU selepas PRN

ahmad zahid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengesyorkan Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian damai antara parti untuk memastikan kestabilan politik sebaik sahaja tamat pilihan raya di enam negeri, pada 12 Ogos ini.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) perlu melihat perkara itu walau apapun keputusan pilihan raya negeri (PRN) itu kelak.

“Bersih berpandangan tiba masanya untuk satu lagi perjanjian antara parti seperti Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangani kerajaan (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021, yang membolehkan kestabilan politik selama 13 bulan.

“MoU tersebut telah berjaya meluluskan undang-undang antilompat parti dan beberapa reformasi Parlimen. Bersih menggesa Perdana Menteri dan dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyatakan komitmen mereka bagi merundingkan perjanjian damai selepas PRN.

“Hal ini bagi memastikan pengundi, bukan sahaja di enam negeri tersebut malah rakyat yang lainnya, pelabur domestik dan asing, bahawa Malaysia akan memberi fokus kepada pemulihan semula ekonomi dengan menafikan desas-desus perubahan kerajaan di pertengahan penggal yang menyebabkan keraguan terhadap kestabilan politik dan keyakinan pasaran,” katanya.

Jun lalu, ketika berceramah dalam program Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan Kerajaan Pusat sekiranya memenangi semua PRN di enam buah negeri.

Beliau enggan mengulas bagaimana perubahan kerajaan boleh berlaku tetapi menegaskan, ia sedikit sebanyak mampu menggugat kedudukan kerajaan sedia ada.

Bersih juga menegaskan institusi Parlimen turut memainkan peranan penting sebagai orang tengah bagi memastikan kerajaan pada masa ini terus stabil.

“Bagi membina asas dan kepercayaan, Kerajaan Perpaduan dan pembangkang perlu mempertimbang untuk mendapatkan khidmat daripada kepemimpinan Parlimen, iaitu Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyelia pelaksanaan reformasi penting seperti undang-undang antilompat di bawah MoU dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Parlimen boleh dan perlu memainkan peranan utama bagi perdamaian politik yang mapan sehingga 2027 yang memerlukan pemerkasaan ahli Parlimen pembangkang dan Backbencher kerajaan sebagai pertukaran dengan janji pembangkang untuk tidak berkomplot menjatuhkan kerajaan.

“Hormati terhadap keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan perlu selari dengan padang permainan politik yang rata yang memberikan ruang kepada pembangkang untuk bersaing secara konstruktif dan profesional. Hanya ketika itu kerajaan dan pembangkang dapat bersaing isu dasar dan tatakelola dan bukannya terus bermain politik identiti seperti bangsa, agama dan raja-raja (3R),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN