Bersatu takkan menang tanpa Pas dan Gerakan-Wan Saiful

Bersatu takkan menang tanpa Pas dan Gerakan-Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jentera Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya menghargai setiap kebersamaan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas supaya kekuatan menjadi lebih utuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. 

Mengingatkan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PRN kali ini adalah medan bagi menguji kesetiaan dan keutuhan setiap ahli, sekali gus beliau meyakini kemenangan dapat diperoleh parti itu. 

“Pilihan raya adalah ujian bagi kita. Tanpa kesatuan semasa kita berhadapan ujian, semua kita akan kalah. Tapi jika kita jaga kesatuan, semua kita insya-Allah menang.

“Sebab itulah dalam ucapan saya di Jeli malam tadi, saya memperingatkan jentera kita agar menghargai kebersamaan dalam Perikatan Nasional kerana setiap pilihan raya adalah ujian.

“Pilihan raya menguji adakah kita benar-benar berjuang, atau kita hanya menipu dengan kata-kata manis mengenai perjuangan selama ini.

“Sifat saling menghormati, dan menyedari bahawa kita saling melengkapi, itulah yang akan membantu kita mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tambah beliau lagi, kerjasama yang ada pada hari ini adalah hasil kerjasama antara parti-parti dalam gabungan. 

Maka katanya, gabungan itu perlu dikekalkan untuk menjadi kekuatan parti. 

“Contohnya di Parlimen saya sendiri Tasek Gelugor, sukar saya menang jika tiada gabungan yang ampuh. Dalam PRU 12, 13 dan 14, undi yang diperoleh oleh PAS adalah sekitar 15,000 ke 20,000. Tetapi bersama PN, undi kita melonjak menjadi lebih 31,000. Bersatu tidak akan menang tanpa PAS dan Gerakan.

“Di Marang, undi PAS melonjak dari 53,000 pada PRU 14 kepada lebih 73,000 pada PRU 15. Di Kubang Kerian, undi PAS melonjak dari 35,000 kepada PRU13 dan PRU 14 kepada lebih 53,000 kepada PRU 15.

” Di Putrajaya, undi Bersatu melonjak daripada hampir 9,000 kepada PRU 14 kepada lebih 16,000 pada PRU15. Di Gua Musang, undi Bersatu melonjak dari hampir 5,000 pada PRU 14 ke lebih 21,000 pada PRU 15.

“Maksudnya setiap parti, baik Bersatu, PAS mahupun Gerakan, mendapat manfaat daripada gabungan ini,” ujarnya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN