BALING: Barisan Nasional (BN) Kedah tidak melihat kedudukan dan jawatan seseorang dalam parti sebagai kriteria utama yang diperlukan sebelum diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selagi seseorang individu itu diterima bukan sahaja dalam kalangan ahli tetapi rakyat sebagai pengundi, tidak ada masalah untuk mencalonkan mereka.
“Dalam pilihan raya, calon sangat penting yang bukan sahaja pada pandangan kita (untuk dijadikan calon) tetapi pandangan masyarakat terhadap individu itu sama ada orang itu boleh diterima atau tidak.
“Kalau orang itu boleh diterima tak kira sama ada yang berjawatan dalam parti atau pun tidak, selagi rakyat dan orang parti pun boleh terima dia saya kira tak ada halangan untuk dikemukakan (sebagai calon),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi di Kampung Iboi, Kupang hari ini.

Mahdzir berkata, BN turut mempunyai beberapa kriteria lain yang akan diambil kira bagi menentukan seseorang individu itu layak dinamakan sebagai calon pada PRN kelak.
Beliau berkata, individu yang tidak berasal dari sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga boleh diangkat sebagai calon jika masyarakat di kawasan tersebut dapat menerimanya dan mampu berkhidmat di situ.
“Orang itu kena ada di situlah untuk diterima oleh masyarakat. Kalau masyarakat pun tak kenal dia, ahli parti pun tak kenal dia, yang itu nanti akan ada masalah (untuk jadi calon),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir memaklumkan pengagihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) Kedah telah selesai sebelum disusuli majlis pengumuman senarai calon tidak lama lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada lagi isu perebutan kerusi antara PH dan BN setelah rundingan itu selesai susulan pertemuan bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas esok bagi membincangkan tarikh-tarikh penting proses penamaan calon, undi awal dan hari membuang undi PRN di enam negeri terlibat. –UTUSAN










