Beri peluang Muda berada dalam DUN Terengganu - Utusan Malaysia

Beri peluang Muda berada dalam DUN Terengganu

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (hadapan, empat dari kanan) dan Luqman Long (hadapan, empat dari kanan) beramah mesra dengan penduduk tempatan selepas pelancaran Bilik Gerakan Utama Muda DUN Bandar di Kampung Cina, Kuala Terengganu, petang ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berharap rakyat Terengganu  memberi peluang kepada wakil parti itu berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu untuk memainkan peranan semak dan imbang ke arah tadbir urus yang lebih berkualiti dan efisyen.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya rakyat Terengganu memilih seorang pemimpin baharu yang bersuara lantang untuk membangkitkan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan ketika ini.

Menurutnya, calon Muda untuk kerusi DUN Bandar iaitu Luqman Long adalah seorang pemimpin yang berprinsip dan mampu melakukan reformasi pentadbiran dengan idealisme baharu demi kebaikan rakyat Terengganu.

“Kita tahu laluan sangat sukar kerana negeri ini adalah kubu kuat Pas dan kita bertanding secara realistik bahawa kemenangan tidak akan mengubah kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri kerana kita hanya bertanding satu kerusi (di Terengganu).

“Bagaimanapun, peluang harus diberi kepada Luqman kerana beliau adalah antara anak muda yang paling lantang dan konsisten dalam soal gaji, peluang pekerjaan, pendidikan dan isu semasa lain di Pantai Timur dan Terengganu khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bilik Gerakan Utama Muda DUN Bandar di Kampung Cina, di sini, hari ini.

Sementara itu, Luqman berkata, penerimaan masyarakat di sekitar kawasan tersebut positif terhadap Muda bahkan ramai yang menyokong keputusan Muda untuk tidak bersama kerajaan berikutan pelbagai isu dan pelanggaran janji-janji reformasi.

Menurutnya, sambutan positif itu sangat berbeza dengan pandangan sesetengah pihak bahawa pengundi DUN Bandar sukar didekati parti baharu kerana hanya terikat dengan blok parti sedia ada.

“Ramai pengundi yang turut berkongsi cadangan dan nasihat mereka agar saya berjumpa seramai mungkin penduduk di kawasan itu untuk mengenali mereka dan mengetahui permasalahan yang dihadapi dengan lebih dekat lagi.

“Saya tidak fokuskan hanya kepada pengundi muda sebaliknya kita jumpa semua termasuk warga emas, penjaja, pelajar, pekerja ekonomi gig, penghantar makanan, penyokong kuat parti lawan dan pengundi atas pagar tanpa ada yang tertinggal.

“Saya berharap sokongan positif ini akan berterusan sepanjang kempen seterusnya diterjemahkan ke dalam kertas undi pada 12 Ogos nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya