PETALING JAYA: Berdepan tohmahan kononnya tidak melaksana janji, syarikat pengurusan artis, Leo Music Empire membuka ruang untuk penyanyi baharu yang mencetuskan kenyataan tersebut baru-baru ini datang bersemuka menyelesaikan masalah.
Jelas pengarahnya, Nour Shue, pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang namun mahu kontroversi tersebut segera dihentikan bagi mengelakkan impak negatif yang lebih besar.
“Secara peribadi, kenyataan tersebut tidak memberi impak negatif kepada saya sebagai pengarah tetapi telah menjejaskan imej Leo Music Empire. Saya sudah berhubung dengannya untuk menyelesaikan masalah, tetapi alasan yang diberikan ‘terlalu sibuk’.
“Saya menasihatkan agar pihak tersebut datang bersemuka secara professional dan jika kenyataan tersebut melibatkan syarikat saya, semua bukti boleh didedahkan. Dia kena ingat asal usul dan di mana dia bermula.
“Semua orang tahu di mana dia bermula dan dia memang cuma ada dua label sahaja (termasuk Leo Music Empire) setakat ini sebelum menyertai label lain,” tegasnya.
Dalam pada itu, Nour Shue berkata, dia menerima pelbagai pesanan dan berhadapan pertanyaan yang mengaitkan dakwaan tersebut dengan syarikatnya yang selama ini tidak pernah ‘menganiaya’ artis bawah pengurusannya.
“Saya sangat terkejut apabila ramai rakan dan kenalan di media sosial termasuk media menghantar pesanan secara peribadi mengenai isu ini, sehari selepas kenyataan tersebut dikeluarkan.
“Saya tidak menolak kemungkinan ada yang tidak sengaja mengaitkan Leo Music Empire sekali gus mengalihkan tumpuan tersebut kepada saya walaupun dia tidak menyebut mana-mana syarikat.
“Saya memang tidak menyangka yang dia akan mencetuskan isu tersebut. Sedikit sebanyak saya rasa terkilan dengan sikap tidak professionalnya. Tetapi nasihat saya, bersemukalah untuk selesai masalah,” tambahnya.
Sementara itu, tambah Nour Shue, dakwaan tersebut tidak seharusnya dibangkitkan dan mengundang pelbagai tohmahan kerana cara itu secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada kerjayanya kelak.
“Saya tidak faham motif kenyataan itu tetapi secara rasionalnya kalau masih berhubung baik kenapa hendak membangkitkan isu yang tidak benar sama sekali? Sedangkan media banyak membantu awak untuk naik dengan cara yang positif.
“Banyak lagi perkara positif tentang dia yang boleh diceritakan kepada semua pihak . Tiada istilah menipu mahupun dirompak jika dia sendiri yang sudah membuat keputusan dan persefahaman bersama dengan syarikat ,” ujarnya.