'Berehatlah, sahabatku' - Anwar - Utusan Malaysia

‘Berehatlah, sahabatku’ – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai satu kehilangan besar buat dirinya dan keluarga.

Perdana Menteri berkata, Salahuddin merupakan seseorang pemimpin yang teguh pendirian bersama dalam perjuangan yang panjang ini sehingga ke akhir hayat.

Katanya, jasa dan budi Ahli Parlimen Pulai itu tentunya tidak termampu dibalas secara materi.

“Saya amat terkesan tatkala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan juga seorang sahabat yang setia, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah pergi dijemput Allah hari ini.

“Beliau dikenali kerana punyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab,” katanya dalam Facebook.

Terdahulu, Salahuddin disahkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam tadi.

Timbalan Presiden Amanah itu sebelum ini dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.

Beliau kemudiannya menjalani pembedahan pada semalam, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.

Dalam pada itu, Anwar mendoakan kepada agar Allah mengampunkan dosa Allahyarham dan diberikan tempat yang istimewa.

“Semoga Allah memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisinya, Insya-Allah.

“Berehatlah, sahabatku,” luah Anwar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN