Berbekal RM160,000, anak bawa pulang ibu terlantar di Madinah

Berbekal RM160,000, anak bawa pulang ibu terlantar sakit di Madinah

KEPULANGAN Hasmah Hamid (berkerusi roda) disambut tangisan kegembiraan anak-anak dan ahli keluarganya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penantian tiga beradik untuk bertemu semula dengan ibu kandung mereka yang terlantar sakit bersendirian di sebuah hospital di Madinah selama 71 hari, berakhir kelmarin.

Kepulangan Hasmah Hamid, 62, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada pukul 5.30 petang disambut dengan tangisan kegembiraan tiga beradik tersebut bersama 50 anggota keluarga yang lain.

Zuraini Sapi’n, 32, berkata, adik bongsunya, Mohd. Asdi Awang @ Abidin, 28, ke Madinah Isnin lalu menggunakan wang terkumpul hasil sumbangan orang ramai sebanyak RM160,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami sedar wang sumbangan itu masih tidak cukup untuk membayar bil hospital sedangkan masa semakin suntuk, jadi kami sepakat agar Mohd. Asdi yang pergi dahulu ke Madinah untuk mengubat kerinduan ibu.

“Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka, pihak hospital turut bersimpati dengan nasib kami dan akhirnya setuju memberi pengurangan dengan kami membayar sebanyak RM135,963 (112,000 riyal) berbanding jumlah asal RM182,000 (150,000 riyal).

“Semuanya dipermudah Allah SWT dan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan dan sokongan emosi kepada kami semua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Akhbar ini pada 11 Julai lalu melaporkan tiga beradik merayu sumbangan orang ramai untuk mendapatkan sejumlah wang bagi membayar bil hospital swasta selepas ibu mereka terlantar sakit di Madinah.

Ibu mereka pergi ke Tanah Suci bersama sebuah syarikat yang menyediakan pakej umrah pada 30 April lalu dan sepatutnya pulang pada 12 Mei lepas.

Bagaimanapun, ibu mereka jatuh sakit pada 9 Mei lalu di Madinah dan terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk menerima rawatan lanjut.

Lebih menyedihkan, ibu mereka yang disahkan menghidap jangkitan kuman pada paru-paru terpaksa ditidurkan manakala ahli rombongan umrah yang lain pulang semula ke Malaysia pada 12 Mei lepas mengikut jadual asal yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×