JOHOR BAHRU : Remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella sedang menyesuaikan diri di tempat dan persekitaran yang baharu di Johor Bahru.
Perkembangan itu dikongsikan oleh kepada Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang meluangkan masa menyantuni kanak-kanak berusia 13 tahun dalam satu majlis tertutup di sini hari ini.
Che Puan Besar Khaleeda bertitah remaja perempuan itu yang sebelum ini menjadi mangsa dera yang mencetuskan sensasi telah dipindahkan di daerah ini.
“Pada masa ini, adik Bella sudah dipindahkan ke Johor Bahru dan sedang menyesuaikan diri di tempat dan persekitaran yang baharu.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan perkara ini khususnya Exco Wanita, Keluarga & Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin-Nisa Ismail serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor. Allah Berkati Johor,” titah baginda.
Menerusi hantaran di laman Facebook dan instragram miliknya, Che’ Puan Besar Khaleeda berkongsi beberapa keping gambar ketika meluangkan masa melawat Bella dan rakan-rakannya.
Remaja sindrom down itu sebelum ini mengalami kecederaan seperti melecur di tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama di tubuhnya ketika di bawah jagaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun.
Che’ Puan Khaleeda merupakan antara individu yang lantang memperjuangkan kes penderaan kanak-kanak ke atas insan istimewa seperti Bella yang dianiaya dan diabaikan.
Pada 3 Mei lalu, baginda merakamkan penghargaan kepada aktivis, peguam lantikan Tunku Ismail, pasukan pendakwaan dan individu yang prihatin dengan kes remaja terbabit.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara untuk pertuduhan menganiaya, namun Siti Bainun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas hukuman itu diperintah berjalan secara serentak bermula 3 Mei lalu.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. –UTUSAN