PETALING JAYA: Bekas wakil rakyat pembangkang Parti Warisan (Warisan) yang menyokong kerajaan negeri memberitahu, mereka sudah menerima wang sejumlah RM3 juta sebagai peruntukan khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Wang RM3 juta itu dengan agihan RM2.5 juta bagi pelaksanaan projek-projek kecil dan RM500,000 dalam bentuk Sentuhan Kasih telah disalur kepada setiap wakil rakyat yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah.
Sebelum ini, peruntukan itu mencetus kontroversi apabila ada pihak mendakwanya sebagai ‘habuan’ supaya wakil rakyat berpaling tadah, malah, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa tiga ADUN ‘dibeli’ oleh pihak tertentu dengan nilai sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ADUN Kunak, Norazlinah Arif berkata, setakat ini beliau telah membelanjakan hampir RM1 juta daripada RM2.5 juta wang untuk melaksanakan 22 unit bagi projek bekalan air graviti di beberapa kampung di daerah itu.
“Ya, saya sudah menerima peruntukan ini selepas mengumumkan menyokong kerajaan. Projek ini baru berjalan dan terima waran, jadi dijangka bulan depan hantar permohonan untuk pemeriksaan semula dan pemilihan kontraktor yang layak.
“Selepas ini, saya juga akan salurkan peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih jambatan di beberapa kampung kerana banyak yang roboh, selain baik pulih rumah orang miskin dan pembaikan padang serta pelbagai lagi bantuan.
“Sudah tentu saya akan pastikan masalah di Kunak diangkat ke peringkat atasan. Yang membuatkan saya selesa sudah tentu saya senang berhubung dengan Ketua Menteri dan jabatan, jadi mudah untuk saya berurusan dan selesai masalah rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 6 Februari lalu, Norazlinah antara tiga ADUN keluar parti dan bergerak sebagai wakil rakyat bebas, namun kemudian memutuskan menyertai parti komponen GRS, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS). Dua lagi ADUN Warisan iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) turut berbuat demikian.
Semasa perbahasan di Dewan Rakyat Februari lalu, Mohd. Shafie mendakwa bekas Ketua Wanita Warisan itu dan dua lagi ADUNnya keluar parti kerana ‘dibeli’ oleh pihak tertentu selain mendakwa mempunyai bukti pengakuan mereka ditawarkan imbuhan.
Bagaimanapun, Norazlinah menafikan dakwaan tersebut sebagai tawaran keluar Warisan sebaliknya, ia berdasarkan Bajet Sabah 2023 yang dibentang Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di DUN Sabah tahun lalu.
Dalam jawapan bertulis Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah pada persidangan DUN Sabah Ke-16 pada 22 hingga 25 Mei lalu kepada ADUN Moyog, Datuk Ignatius Darell Leiking diberitahu yang wakil rakyat menyokong GRS diberi peruntukan khas RM3 juta.
Bagaimanapun, kementerian berkata, belum menerima arahan untuk menyalurkan dana tersebut kepada ADUN yang tidak menyokong kerajaan negeri.
Sementara itu, Darell yang juga Timbalan Presiden Warisan ketika dihubungi berkata, meskipun tidak menuntut supaya peruntukan itu diberi kepada pembangkang, beliau berharap kerajaan bersikap matang dan memikirkan keadaan rakyat yang tidak mendapat manfaat sama.
“Kalau kerajaan negeri benar-benar prihatin dan sayang rakyat biar pun kawasan itu milik pembangkang, bukankah itu lebih bagus? Sebab ini tanggungjawab kerajaan menjaga kebajikan rakyat. Saya sendiri pun tidak mendapat sesen peruntukan dari kerajaan,” katanya. – UTUSAN











