Bedah siasat sahkan wanita mati disebabkan kesan kebakaran pada tubuh - Utusan Malaysia

Bedah siasat sahkan wanita mati disebabkan kesan kebakaran pada tubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Hasil bedah siasat terhadap mayat wanita yang mati di Hospital Seri Manjung (HSM) tengah hari semalam selepas dibakar suaminya petang Isnin lalu, mengesahkan punca kematian akibat kesan pembakaran pada tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan mendapati suspek baru sahaja berkahwin dengan mangsa tidak sampai setahun dan tiada anak hasil perkahwinan itu.

“Suspek bekerja sebagai ‘bouncer’ (kaki pukul) di sebuah bar di Lumut manakala mangsa tidak bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang lelaki bertindak nekad membakar isterinya sehingga mati di rumah mereka di Kampung Bharu, Sitiawan, dekat sini, kerana tidak berpuas hati dituduh oleh mangsa dan keluarganya yang dia mengambil dadah.

Menurut Mohamed Nordin, kejadian itu dipercayai dilakukan suspek yang berusia 28 tahun petang Isnin selepas pihak polis menerima panggilan MERS 999 pada pukul 6.42 petang daripada seorang wanita memaklumkan adiknya iaitu suspek telah membakar isterinya di rumah.

Mangsa yang berusia 33 tahun dihantar ke HSM untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 12.20 tengah hari semalam.

Beliau memaklumkan, suspek ditahan di sebuah restoran di Lumut beserta barang rampasan kira-kira pukul 11 malam semalam dan direman selama tujuh hari sehingga 18 Julai minggu depan untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh digantung sampai mati, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN