SAYA tidak ada memori yang baik dengan anak patung semasa saya kecil. Kali pertama dan terakhir saya meminta sebuah anak patung adalah pada usia enam tahun kerana semua jiran dan sepupu saya memilikinya.
Tetapi, saya dimarahi emak. Kata emak, kami tidak cukup wang untuk beli sebuah anak patung.
Saya tidak membesar dengan anak patung namun saya faham betapa dekat dan akrabnya boneka dalam memori seorang anak perempuan.
Ketika Greta Gerwig mengambil keputusan untuk mengarah filem cereka (live action) Barbie buat kali pertama, ia sebenarnya sebuah kerja berani kerana dia harus berhadapan dengan jutaan jangkaan wanita yang menganggap Barbie sebagai teman masa kecil mereka.
Namun melihat profil dirinya sebagai calon penerima Anugerah Oscar, tidak mustahil untuk Greta mempersembahkan sebuah naskhah lain dan berbeza tanpa meninggalkan sisi Barbie sebagai permainan yang sangat riang dan membahagiakan orang.
Barbie, tinggal di sebuah semesta bernama Barbieland. Greta cuba menjelmakan Dream House semirip mungkin dengan set mainan yang anda lihat di kedai.
Sangat merah jambu dengan bantal berbentuk hati. Kolam renang, gelongsor, set pakaian bersama-sama beg comel, kereta dan lain-lain. Di Barbieland, wanita boleh jadi apa saja dari pemenang anugerah Nobel, pemimpin bahkan angkasawan.
Barbie, seperti patungnya jalan menjengket, tidak mandi, tidak makan dan masing-masing hidup secara rutin dengan bahagia. Namun ada satu fakta yang anda perlu tahu. Semua yang ada di Barbieland adalah plastik.
BAGAIMANA BERPIJAK DI DUNIA NYATA?
Barbie memperkenalkan watak utamanya, Stereotypical Barbie lakonan Margot Robbie. Barbie biasa, ramping dan berambut perang.
Dalam hidup para Barbie, mereka hanya tahu satu emosi sahaja iaitu gembira. Momentum filem ini makin menarik memasuki act kedua, ketika Barbie tiba-tiba terfikir tentang kematian.
Keesokan paginya, kakinya yang selama ini jalan menjengket tiba-tiba memijak tanah. Bukan itu sahaja, tiba-tiba di badan Barbie ada selulit. Sesuatu yang sangat tidak normal.
Kerana ketiga-tiga perkara ini, Barbie dianggap ‘rosak’ seperti sekumpulan para Barbie lain yang dipanggil ‘Barbie Pelik’. Untuk menyembuhkan ‘penyakit’ itu, Barbie harus ke dunia nyata.
Maka bermulalah pengembaraan Barbie dan Ken ke alam manusia. Di sinilah saya mengagumi bagaimana Greta membawa semua kritikan terhadap kewujudan Barbie dan syarikatnya Mattel ke meja lakon layar untuk dihidangkan dan diadili.
Mattel berhadapan kritikan sebagai kapitalis yang mengeksploitasi imaginasi kanak-kanak juga Barbie yang menyebabkan banyak wanita murung cuba mencapai bentuk badan yang kononnya paling ideal.
Saya sebenarnya tidak menyangka, filem ini turut membincangkan feminisme, patriarki dan bagaimana kedudukan laki-laki di sebalik perjuangan ini. Greta melalui Barbie membawa kita melihat perbezaan jantina daripada perspektif lain dengan cara paling anggun dan begitu warna-warni.
ADAKAH KITA BENAR-BENAR HIDUP?
Act ketiga filem ini adalah jantung dan inti kepada keseluruhan naskhah ini. Greta menggarap bahagian ini dengan sangat berhati-hati. Dari babak ke babak emosi penonton berombak.
Sehinggalah Greta menerusi dialognya membawa kita semua mempersoalkan Dream House yang diingini ramai wanita dibuat daripada plastik. Adakah itu yang benar-benar kita mahukan?
Apa yang membezakan manusia dengan semua perkara plastik (termasuk patung) adalah kejujuran kita meraikan perasaan. Kita menangis, cemas, takut dan gembira.
Kita hidup kerana perasaan itu. Kita hanya perlu merasainya. Barbie adalah sebuah hadiah yang diberikan seorang ibu kepada anaknya. Seperti mana Ruth yang mula-mula mengasaskan Barbie untuk anaknya yang bernama Barbara. Nasihat Ruth cuma satu. ‘Hiduplah’.