Baddrol Bakhtiar masuk politik untuk pertahan Sanusi

Baddrol Bakhtiar masuk politik untuk pertahan Sanusi

BADDROL Bakhtiar (empat dari kiri) bergambar bersama hadirin yang hadir ke dalam Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, Padang Terap, Kedah, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Bekas kapten pasukan bola sepak Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar mendedahkan langkahnya menyertai politik ketika ini adalah untuk mempertahan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selain memperjuang agama serta bangsa.

Bekas pemain kebangsaan yang berusia 35 tahun itu berkata, penghijrahan daripada arena bola sepak ke dunia politik itu juga hadir daripada hatinya bersempena Maal Hijrah tahun ini.

“Pertamanya saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang dok serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

“Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Muhammad Sanusi dan pertahankan negeri Kedah ini di bawah beliau,” katanya ketika berucap dalam Program Sembang Santai Geng Muda di Kampung Lubuk Perong, di sini malam tadi.

Program itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd. Radzi Md. Amin serta legenda bola sepak Kedah, Muhammad Radhi Mat Din yang turut pernah bertanding mewakili Pas di Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Nama kedua-dua bekas pemain bola sepak itu ketika ini hangat diperkatakan untuk menjadi calon Pas bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Mengulas lanjut Baddrol berkata, tindakannya sememangnya di luar jangkaan dan perkara itu dapat dilihat melalui kesedihan yang tergambar pada malam terakhir beraksi bersama Sabah FC ketika mereka menewaskan Sri Pahang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu lalu.

“Sebab itu malam terakhir saya di Sabah ketika bersama Rizal Ghazali (rakan sepasukan sejak di Kedah), tak boleh tahan. Malah dia pun tanya, betulkah mu (kamu) nak tinggalkan aku dalam loghat Balingnya.

“Saya minta maaf pada Rizal dan katakan mungkin sampai di sini sahaja perjuangan saya dalam bola sepak,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada beliau akan dicalonkan untuk bertanding dalam PRN, Baddrol berkata, beliau percaya kepada takdir Tuhan.

“Kalau kita ikhlas, jujur dalam perjuangan atau bidang diceburi, insya-Allah Tuhan bantu. Malam ini saya terharu dengan anak-anak muda yang hadir dan rasa teruja serta lebih bersemangat untuk perjuangkan apa yang saya impikan selama ini.

“Saya juga menyeru penduduk kampung di sini supaya memilih pemimpin yang ada sifat kepemimpinan dan mendengar keluhan rakyat selama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN