Anwar tuntut Muhyiddin bayar RM200 juta, minta maaf

Anwar tuntut Muhyiddin bayar RM200 juta, minta maaf

ANWAR IBRAHIM dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta kerana memfitnahnya berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Tuntutan tersebut dimaklumkan dalam surat tuntutan Anwar melalui firma guaman, Tetuan SN Nair & Partners kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Berdasarkan surat yang dilihat media hari ini, Anwar mendakwa Muhyiddin telah memfitnahnya apabila mengeluarkan kenyataan media bahawa Presiden PKR itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam tempoh yang diberikan.

Pada 19 Julai lalu, Muhyiddin menghantar surat tuntutan terhadap Anwar dan menuntut Ahli Parlimen Tambun itu mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangan sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Anwar juga dituntut membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, menyiarkan yang sama di akaun Facebook dan semua platform kenyataan berkenaan disiarkan.

“Kami juga merujuk kepada surat tuntutan anak guam kamu (Muhyiddin) bertarikh 18 Julai 2023 yang memberikan anak guam kami (Anwar) tempoh masa 24 jam untuk membalas. Harus ditegaskan bahawa anak guam kami telahpun memberikan maklum balas kepada anak guam kamu dalam tempoh masa yang telah diberikan dengan membuat satu hantaran posting Facebook kenyataan media bertarikh 20 Julai 2023.

“Adalah tidak relevan di sisi undang-undang dan prosedur sama ada maklum balas tersebut dibuat melalui hantaran posting Facebook beliau atau melalui kami sebagai peguam caranya atau oleh kedua-duanya.

“Oleh itu, ia adalah satu salah tanggapan dan tindakan jahat oleh anak guam kamu untuk menyatakan kepada pihak media bahawa anak guam kami masih belum memberikan apa-apa maklum balas kepada dakwaan anak guam kamu,” kata surat tuntutan tersebut.

Selain permohonan maaf dan ganti rugi RM200 juta, Anwar turut menuntut Muhyiddin menarik balik surat tuntutannya dan kesemua kenyataan yang dikatakan fitnah serta membayar kos guaman Anwar.

Sekiranya Muhyiddin gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, satu tindakan saman akan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Semalam, Muhyiddin menyatakan akan meneruskan saman terhadap Anwar yang didakwa telah gagal mendedahkan dokumen dipinta kelmarin berkenaan pelupusan hutang peneroka.

Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa, dokumen yang didedahkan Anwar dalam Facebook rasminya adalah dokumen berkaitan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada 2020.

Anwar mengemukakan sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang telah ditandatangani beliau.

Dokumen tersebut dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau melibatkan FSRA 1 berserta Arahan Pembayaran Tahun Kewangan 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN