SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam lemah dan goyah apabila terpaksa tunduk kepada tekanan dalaman.
Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menjelaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan yang didukungi jumlah kerusi DAP terbanyak dalam Parlimen menyebabkan Anwar beliau berada dalam keadaan tertekan.
“Betul, saya pun percaya Anwar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sangat menggelabah juga kerana DAP dengan 40 kerusi boleh kawal beliau untuk buat itu dan ini.
“Sebab itu beliau nampaknya sangat lemah sekarang kerana tunduk dengan tekanan-tekanan daripada DAP yang kita sebut bukan hendak menentang orang Cina tetai, DAP yang cuba membawa doktrin menghakis tunjang orang Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Beliau menambah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor penting untuk menjadi indikator kepada Kerajaan Persekutuan dan boleh mewujudkan faktor sokongan kepada Kerajaan Persekutuan dalam Dewan Rakyat ditarik.
“Jatuhnya (kerajaan) di Selangor melambangkan Kerajaan Persekutuan juga akan jatuh. Jadi disebut, kalau Selangor menang, ramai lagi Ahli Parlimen yang berani untuk menunjukkan tidak ada kepada Kerajaan Perpaduan.
“Saya hendak sebut juga bahawa it is critical now di Selangor sebab memang dia kata in Malaysia they can win (PN), sekarang kita kena convince orang Melayu untuk keluar mengundi dan kita cuba mendapatkan undi bukan Melayu di situ.
“Di situ akan ada ketentuan siapa yang akan menang di Selangor. Memang clear ada kerusi Cina, DAP di situ, ada kerusi Melayu di sini dekat PN, tetapi tak cukup untuk memenangkan pihak itu, jadi kena berhati-hati,” jelasnya.
Justeru, Zuraida memaklumkan beliau dan kumpulan Proklamasi Orang Melayu (POM) akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kemenangannya di Selangor pada PRN Ogos ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa PN mengemukakan nama-nama besar untuk memastikan keyakinan pengundi terhadap parti berkenaan melihat kesediaan mereka membentuk kerajaan negeri pada pasca pilihan raya.
“Tetapi, calon-calon itu saya minta mereka lebih terbuka meletakkan calon-calon yang hebat agar bila Selangor ini bila kita umumkannya, mereka bersedia untuk membentuk kerajaan.
“Kemudian, baru rakyat Selangor akan rasa kredibiliti barisan kepimpinannya yang akan menggantikan kerajaan negeri orang yang berpengalaman, mampu buat kerja dan tidaklah seperti sekarang terhoyong-hayang naik basikal dan sebagainya yang bukan-bukan,” ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Zuraida memberitahu peguamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan RM10 juta yang dibenarkan mahkamah baru-baru ini dalam masa sebulan.
“Rayuan itu, peguam saya dalam masa sebulan ini akan memfailkan rayuan dan kita tunggu, biasanya dalam proses rayuan ini akan ambil masa beberapa tahun lagi, saya masih boleh berkempen.
“Sebulan selepas keputusan tempoh hari. Saya insya-Allah, tak ragu saya berada dalam pihak yang benar dan saya boleh lawan,” katanya. – UTUSAN










