KUALA LUMPUR: The Knights Award menjadi pentas untuk meraikan bakat daripada pelbagai bidang selain mengiktiraf kejayaan industri perniagaan yang melibatkan rakyat Malaysia serta pemain industri dari luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Zyro Wong berkata, beliau bermatlamat untuk memberikan penghargaan kepada golongan yang berbakti kepada negara.
“Platform ini adalah untuk menghargai semua lapisan masyarakat yang menyumbang dalam negara kerana ini merupakan salah satu cara yang saya lihat mampu untuk menyatukan kita semua.
“Oleh kerana itu, saya merasakan penganugerahan seperti ini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia serta warga luar negara yang berada di sini untuk terus memberikan sumbangan.

“Kita tidak tumpu pada industri kreatif sahaja seperti yang lain, tetapi, anugerah ini merangkumi industri yang sebelum ini mungkin tidak mendapat perhatian sewajarnya seperti industri digital, pembinaan malah pendidikan,” katanya ketika ditemui di Park Royal Collection di sini semalam.
The Knights Award mempunyai tiga kategori anugerah iaitu The Duke, The Earl dan The Baron, untuk mengiktiraf sumbangan dan pencapaian penting individu dalam ruang lingkup bidang masing-masing.
Sementara itu, Jenna Wang yang merupakan salah seorang pemenang bagi kategori The Baron berkata, beliau sangat teruja dengan ruang yang diberikan kepada golongan wanita menerusi The Knights Award.
Pengasas HAL Empire itu berkata, anugerah itu mengangkat nama syarikatnya menjadi lebih dipercayai sebagai syarikat yang menyediakan kepakaran tertumpu pada lantai iaitu menyedia pelbagai pilihan permaidani serta produk lantai berteraskan balak artifisial.
“Ini merupakan isyarat kepada wanita di luar sana untuk berani menceburi bidang perniagaan walaupun ia didominasi dengan kaum lelaki.
“Saya melihat kemenangan HAL Empire ini sebagai ruang untuk syarikat-syarikat yang bukan daripada industri popular membangun. Jadi, peluang ini memberikan nilai tambah kepada kami,” katanya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif ChamRun Digital, Prof Dr. Behrang Parhizkar berkata, beliau terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh penganjur, Uknighted walaupun syarikatnya baru mencapai tujuh tahun.
“Ini adalah tahun yang ketujuh dan kami memenangi anugerah bagi kategori The Earl iaitu Agensi Pasaran Digital Terkemuka. Ini merupakan penghormatan buat kami.
“Saya berasal daripada Iran dan sudah berada di Malaysia untuk 20 tahun, anugerah yang diberikan kepada syarikat saya ini merupakan indikasi peluang yang ada dalam Malaysia.
“Dengan ini, saya harap lebih ramai yang akan melabur serta menceburi bidang perniagaan di Malaysia untuk memangkin ekonomi negara ini. Sudah nyata, Malaysia merupakan negara yang membuka peluang kepada semua,” ujarnya. – UTUSAN










