Anggota SAR gali beting pasir cari mangsa terakhir tragedi kepala air - Utusan Malaysia

Anggota SAR gali beting pasir cari mangsa terakhir tragedi kepala air

ANGGOTA keselamatan yang menyertai operasi SAR melakukan pencarian mangsa tarakhir tragedi kepala air, Putri Nor Fatin Karim, di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan menggali beting pasir di sekitar kawasan lokasi tragedi kepala air di Jeram Mawar,  Air Putih, di sini,  bagi mencari mangsa terakhir, Putri Nor Fatin Karim, 14.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, kaedah tersebut akan dilakukan berikutan wujud beting pasir baharu ekoran perubahan aliran air sungai. 

“Berdasarkan pengalaman pencarian kes-kes sebelum ini, ada antara mangsa yang dijumpai di bawah timbunan beting, dan kita akan  buat penggalian sebab kita dapati banyak beting pasir yang baru wujud di lokasi. 

“Selepas beting pasir digali, kita akan gunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan sekiranya terdapat mangsa di kawasan itu. Kita tak pasti di mana kedudukan mangsa, namun kita cuba cari. 

“Dalam masa yang sama, kita juga akan mencari mangsa di sekitar timbunan kayu yang hanyut dan kita akan cari semula mangsa di kawasan yang pernah kita buat pencarian sebelum ini sebab geografi sungai itu sentiasa berubah,” katanya ketika ditemui di sini, pagi ini.

Azman berkata, operasi pencarian yang memasuki hari ketujuh hari ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sektor A iaitu satu kilometer sebelum lokasi kenderaan mangsa ditemukan sehingga ke Jambatan Kampung Teladas, sejauh 6.3 kilometer. 

“Kita akan menumpukan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti di sektor A untuk mencari mangsa namun, kita juga turut membuat pencarian di sektor B dan sektor C iaitu sehingga ke muara Sungai Kemaman,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat. 

Sehingga semalam, sembilan mangsa telah ditemukan  sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal,11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Sementara itu, anak tiri karim, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, ditemukan pada Selasa sementara tunang kepada Puti Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, pula ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya