KUCHING: Penghidap penyakit diabetes di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus daripada keseluruhan populasinya pada setiap tahun, kata Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) Cawangan Sarawak.
Presidennya, Dr William Voon Yu Huat bagaimanapun tidak menafikan peningkatan tersebut disebabkan beberapa faktor, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat serta kekurangan kesedaran setiap individu.
“Anggaran 16 ke 17 peratus peningkatan terhadap penghidap penyakit diabetes yang dilaporkan dan beberapa faktor menjurus kepada peningkatannya.
“Tetapi di peringkat pesatuan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kita sentiasa memainkan peranan dalam usaha mengurangkan kadar peningkatan tersebut seperti anjuran kempen kesedaran setiap tahun,” dedahnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu beliau menggesa agar penduduk di Sarawak memainkan peranan masing-masing dalam penglibatan kempen kesedaran seperti penglibatan saringan kesihatan yang dianjurkan mahupun di fasiliti kesihatan yang sedia ada.
“Kita menggesa agar mereka yang mempunyai simptom atau tanda-tanda awal terhadap penyakit diabetes ini seperti kerap kabur penglihatan agar melakukan saringan bagi mengetahui status kesihatan masing-masing.
“Pada masa yang sama, pengambilan makanan yang sihat dan pengurangan pengambilan karbohidrat juga antara yang disarankan dalam usaha individu memainkan peranan pencegahan awal pennyakit diabetes ini,” ujarnya.
Justeru itu, sebagai salah satu persatuan yang bertanggungjawab dalam memberi kesedaran kepada penduduk di Sarawak, dua kempen akan dilaksanakan pada bulan depan. Antaranya ialah Pemeriksaan Funduskopi yang akan dijalankan oleh Pakar Mata, dan juga Kempen Pemakanan Diabetes oleh Pakar Dietetik atau Kaunselor Pemakanan.
“Dua kempen kesedaran yang akan dijalankan oleh PDM Cawangan Sarawak pada 5 Ogos dan 3 September tahun ini dalam usaha kita memberi pencegahan awal kepada masyarakat di Sarawak.
“Kempen pertama (pada 5 Ogos) merupakan Pemeriksaan Funduskopi yang akan dijalankan oleh Pakar Mata dari pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga hospital swasta di Kuching. Pemeriksaan akan diberikan secara percuma, dan terhad kepada 100 orang dari pukul 9 pagi sehingga 12 tengah hari.
“Acara kedua (3 September) adalah kempen Pemakanan Diabetes oleh Pakar Dietetik atau Kaunselor Pemakanan, di mana mereka yang berpeluang menyertai akan mengetahui jenis makanan yang boleh mencegah daripada penyakit diabetes. Kita membuka kepada 60 peserta, dan terhad kepada bayaran RM50 seorang, bermula dari pukul 7 pagi hingga 2 petang,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menyertai kempen kesedaran yang dianjurkan oleh PDM Cawangan Sarawak tersebut, boleh hubungi ahli persatuan yang bertanggungjawab iaitu Puan Dorothy di talian 082-239483 untuk megetahui lebih lanjut. –UTUSAN