KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Imuniti Negara bagi melindungi negara daripada pelbagai tuntutan asing kini dalam usaha dilengkapkan oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses penggubalan undang-undang itu buat masa kini di peringkat deraf.
“Itu (Akta Imuniti), masih deraf,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini.
Beliau ditanya berkenaan perkembangan terkini usaha penggubalan undang-undang tersebut.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Akta Imuniti bagi melindungi negara daripada pelbagai tuntutan asing bakal dibentangkan di Parlimen, tahun ini.
Beliau berkata, pembentangan itu dilihat penting terutamanya dari aspek menjaga kedaulatan, hak, wilayah dan persempadanan negara.
Azalina menjelaskan, undang-undang berkenaan akan mencerminkan prinsip am undang-undang antarabangsa mengenai kekebalan beraja, perkhidmatan berkesan kepada negara asing, menegakkan hak dan kepentingan pihak berkaitan, menjaga kedaulatan negara serta mempromosi hubungan baik dengan negara lain. – UTUSAN