PETALING JAYA: Ahli UMNO tidak perlu ragu dan apologetik untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan termasuk calon DAP.
Demikian gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi kepada seluruh ahli UMNO untuk terus mendukung calon-calon yang mewakili kerajaan persekutuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kata beliau, pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan Barisan Nasional (BN) hasil daripada mesyuarat dilakukan selama sejam.
“Ia konsensus. Tidak berbangkit lagi ‘No Anwar No DAP’, itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Selepas pilihan raya ialah Kerajaan Perpaduan. UMNO setia titah Yang di-Pertuan Agong, yang degil ialah Perikatan Nasional (PN).
“UMNO lebih berpengalaman dalam tahaluf siyasi berbanding Pas. UMNO, MCA dan MIC bekerjasama sejak 1955. Kini DAP rakan baharu. Apa bezanya jika Perlembagaan ditaati.
“UMNO lakukan ini demi kestabilan, sebab itu Kerajaan Perpaduan perlu dipertahan dan menang. PRN medan mengukuhkan ‘kejujuran politik’ Madani, PN akan lemas,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, misi menawan enam negeri bermula hari ini apabila 245 kerusi menjadi rebutan calon-calon parti politik yang bertanding pada PRN 12 Ogos ini.
Dianggarkan kira-kira 500 calon melibatkan PH, BN, PN, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas menghantar borang pencalonan masing-masing hari ini.
Ini meliputi 56 kerusi Selangor diikuti 45 kerusi Kelantan, Kedah dengan 36 kerusi, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36) dan Terengganu (32).
Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 2,140 borang pencalonan bagi PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu dijual menjelang hari penamaan calon. – UTUSAN