PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa lemas tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, Chukai, Terengganu semalam.
Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mereka sekeluarga dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata Istana Negara dalam Facebook hari ini.
10 mangsa tragedi tersebut ialah Azizah Eiyi, 40; Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta orang ramai yang menyertai operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa tragedi tersebut.
Kejadian kepala air itu dikatakan berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak petang kelmarin hingga awal pagi semalam. – UTUSAN