KOTA KINABALU: Bekas ADUN Parti Warisan (Warisan), Datuk Juil Nuatim bersedia untuk menghadapi apa juga tindakan yang ingin diambil oleh parti berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim berkata, memandangkan ini negara demokrasi, Warisan berhak mengambil sebarang tindakan yang dirasakan perlu.
“Apa juga tindakan yang diambil, saya sedia untuk menghadapinya. Kini, sudah hampir tujuh bulan saya keluar daripada Warisan jadi, saya cukup bersedia dengan sebarang tindakan yang ingin diambil,” katanya.
Semasa keluar daripada Warisan, beliau sudah maklum mengenai tindakan yang bakal dikenakan namun, demi rakyat di kawasan DUN Limbahau, beliau sedia berhadapan apa juga tindakan undang-undang yang bakal diambil.
Beliau berkata, pembangunan dan rakyat di kawasan jauh lebih penting berbanding tindakan yang akan dihadapinya. Malah, selepas keluar Warisan, beliau menerima peruntukan ADUN bagi membolehkannya memberi fokus kepada usaha pembangunan di kawasan.
Mengulas lanjut katanya, syarat perjanjian yang ditandatangani bersama Warisan tidak menyebut tentang bon atau jumlah bayaran yang akan dikenakan terhadap ADUN Warisan yang keluar parti.
Justeru , tindakan terbaharu Warisan ingin meneruskan tindakan saman terhadap 10 bekas ADUN yang melompat parti bukan perkara baharu.
Sejak ADUN-ADUN itu keluar daripada Warisan, kepimpinan Warisan telah mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan untuk mengarahkan kerusi yang dimenangi di bawah tiket Warisan dikosongkan segera.
Walau bagaimanapun, tindakan terbaharu itu menyebabkan ramai bekas ADUN Warisan bertindak mengunci mulut kerana enggan mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Semalam, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan, tindakan saman terhadap 10 bekas ADUN parti itu diteruskan susulan keputusan mahkamah terhadap kes bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin yang diperintahkan membayar bon berjumlah RM10 juta kepada PKR.
Selain Juil, sembilan bekas ADUN Warisan lain yang akan turut dikenakan tindakan saman adalah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Rina Jainal (Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan George Hiew Vun Zin (Karamunting).
Selepas keluar daripada Warisan pada Disember tahun lalu, Juil menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dilantik sebagai Timbalan Presiden KDM.
Beliau kemudiannya memutuskan daripada parti KDM pada 21 Mei lalu dan menjadi ADUN Bebas yang mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). –UTUSAN